Selasa, 13 Februari 2018 | 8:23pm
Persembahan Hael Husaini pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) akhir ke-32 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Hael Husaini 'jampi' 6.1 juta penonton

KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 yang mengangkat karya ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, Jampi sebagai Juara Lagu, Ahad lalu, merekodkan lebih 6.1 juta penonton berdasarkan statistik dikeluarkan Nielsen Malaysia.

Acara anugerah berprestij yang disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil itu menguasai 56.3 peratus penonton daripada pelbagai program yang disiarkan pada waktu yang sama di stesen televisyen (TV) lain.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Johan Ishak, berkata kejayaan itu dicapai berdasarkan pelbagai elemen menarik yang dipersembahkan menjadikan AJl 32 sebagai edisi terbaik pernah dianjurkan TV3.

"Dengan reka bentuk pentas yang gah, pemilihan persembahan dan artis selingan yang bertepatan dengan tema 'Fesyen dan Muzik' serta gandingan pengacara yang berjaya mengawal suasana dengan baik memberi tanda aras baharu terhadap penganjuran AJL edisi ini.

"Melalui barisan finalis gabungan penyanyi lama dan baharu yang menyumbang daya penarik terbesar, bukan saja menambahkan lagi peningkatan jumlah tontonan di kaca TV, malah memberi impak kepada platform digital yang bertambah sebanyak 100 peratus.

"Situasi ini memberi tanggapan lagu mereka ini menepati cita rasa masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengikut kenyataan itu, platform penstriman video pertama dan nombor satu di Malaysia, Tonton, yang menyiarkan AJL 32 secara langsung dengan definisi tinggi (HD) turut mencatatkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu apabila menarik 350,000 pelawat.

Jumlah itu merangkumi mereka yang menonton menerusi portal video rasmi Tonton (www.tonton.com.my), Tonton Facebook (Live) serta aplikasi tontonmy di tablet dan telefon bimbit sama ada android atau iOS.

Tonton menyiarkan siaran langsung AJL 32 bermula dengan acara Karpet Merah Pop TV selain mengisi kandungan istimewa 'Tonton Backstage Live' serta empat kapsul kendalian pengacara Zulin Aziz yang ditayangkan ketika slot iklan.

Turut diumumkan, AJL 32 menjadi sohor kini di Malaysia dan di seluruh dunia. Mengikut statistik atas talian (online), #AJL32 digunakan sebanyak 3.5 juta kali di laman sosial iaitu Facebook, Instagram dan Twitter sepanjang tiga jam berlangsung.

Selain Jampi yang diumumkan Juara Lagu, AJL 32 menyaksikan lagu Sejati ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan yang dinyanyikan Azmi Saat menjadi naib juara. Lagu Tergantung Sepi hasil ciptaan Ibnu dan Gouffran yang disampaikan Haqiem Rusli pula menduduki tempat ketiga.

AJL 32 disokong stesen radio Hot FM dan Kool FM sebagai Geng Radio; Berita Harian (BH) dan Harian Metro (Geng Media) serta OHBULAN! dan Durian Stroberi! (Geng Media Digital). Acara anugerah berprestij ini dipancarkan secara langsung oleh Samsung dan Nivea sebagai penaja utama.

Keputusan Penuh AJL 32

Juara: Jampi - Hael Husaini

Komposer dan Penulis Lirik: Hael Husaini dan Ezra Kong

Hadiah: RM50,000, trofi dan baucar CJ WOW Shop RM10,000

Tempat Kedua: Sejati - Azmi Caliph Buskers (nyanyian asal Faizal Tahir)

Komposer dan Penulis Lirik: Faizal Tahir dan Mike Chan

Hadiah: RM35, 000, trofi dan baucar CJ WOW Shop RM2,000

Tempat Ketiga: Tergantung Sepi - Haqiem Rusli

Komposer dan Penulis Lirik: Ibnu dan Gouffran

Hadiah: RM20,000, trofi dan baucar CJ WOW Shop RM2,000

Vokal Terbaik: Aku Cinta - Syamel dan Ernie Zakri

Komposer dan Penulis Lirik: Syamel

Hadiah: RM12,000, trofi dan baucar CJ WOW Shop RM2,000

Persembahan Terbaik (dibawakan oleh Samsung): Amboi - Altimet

Komposer dan Penulis Lirik: Navigator dan Altimet

Hadiah: RM12,000, trofi, baucar CJ WOW Shop RM2,000 dan telefon pintar Samsung A8

Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung: Bayang - Khai Bahar

Komposer dan Penulis Lirik: Alam (Harry Khalifah) dan Patrick Anohada

Hadiah: Trofi dan telefon pintar Samsung A8+

3582 dibaca
Berita Harian X