Jumaat, 9 Februari 2018 | 8:29pm
PENYANYI, Hazama membuat persiapan terakhir menjelang Anugerah Juara Lagu Ke-32 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KRU produksi membuat persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu Ke-32 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENERBIT Eksekutif Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32), Nurul Huda Khalid. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Elemen muzik, fesyen latari perjalanan AJL 32

BUKIT JALIL: Konsep Fesyen dan Muzik yang diangkat sebagai tema Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32) akan diterjemahkan menerusi segmen pembukaan dan interlud pada acara tahunan yang dipancarkan menerusi TV3 itu.

Penerbit Eksekutifnya, Nurul Huda Khalid, berkata produksi memilih persembahan yang bukan sahaja memaparkan kepelbagaian genre muzik, tetapi turut menyelitkan elemen fesyen menerusi dua segmen khas.

"Selain konsep persembahan yang ditampilkan finalis, segmen pembuka tirai dan interlud juga akan mengetengahkan tema yang dipilih.

"Untuk segmen pembukaan, Stacy akan menyanyikan lagu popularnya yang mengetengahkan variasi genre muzik.

"Satu slot lagi yang masih dirahsiakan akan menampilkan persembahan yang menjadi tunjang kepada makna sebenar tema," katanya ketika ditemui pada sesi latihan AJL 32 di Axiata Arena, di sini, hari ini.

Selain Stacy, segmen persembahan selingan turut menampilkan Datuk Awie, Siti Sarah, Datuk Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

Mengenai cabaran yang dihadapi ketika mengendalikan acara anugerah tahunan itu, Nurul Huda berkata jumlah tiket yang terhad masih menjadi masalah utama dalam memberi kepuasan sebenar kepada peminat muzik.

"Untuk tahun ini, kami memperuntukkan 8,000 tiket, namun ia masih tidak mampu menampung jumlah permintaan yang bertambah.

"Ramai yang mahu menyaksikan acara ini secara langsung di stadium, tetapi kami tidak mampu memenuhi permintaan mereka kerana kapasiti sangat terhad," katanya.

Tinjauan BH mendapati lebih 1,000 tiket habis diagihkan kepada orang ramai tidak sampai 10 minit selepas kaunter dibuka.

Menampilkan Sherry Alhadad dan Alif Satar sebagai pengacara, AJL 32 dipancarkan secara langsung bermula jam 9 malam esok, menyaksikan Aubrey Suwito menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik.

AJL 32 mempertandingkan 12 karya yang akan disempurnakan barisan penyanyi pelbagai generasi seperti Dayang Nurfaizah, Altimet, Hazama, Syamel, Ernie Zakri, Hael Hussaini, Ara Johari, Khai Bahar, Salma, Wany Hasrita, Azmi Caliph Buskers dan Haqiem Rusli.

INFO

12 lagu yang bersaing pada kemuncak AJL 32:

* Akhirnya, Cinta - Salma (Ajai/Slen)

* Aku Cinta - Syamel dan Ernie Zakri (Syamel)

* Aku Yang Sebenar - Hazama & The Penglipur Lara (Datuk M Nasir/Ad Samad)

* Amboi - Altimet (Navigator/Altimet)

* Bayang - Khai Bahar (Alam Harry Khalifah/Patrick Anohada)

* Jampi - Hael Husaini (Ezra Kong/Hael Husaini)

* Lebih Sempurna - Syamel (Syamel/Edry Abd Halim/Boy Anaz)

* Menahan Rindu - Wany Hasrita (Ibnu/Gouffran)

* Sejati - Azmi Caliph Buskers (penyanyi asal Faizal Tahir) (Faizal Tahir/Mike Chan)

* Separuh Mati Ku Bercinta - Dayang Nurfaizah (Ajai)

* Tergantung Sepi - Haqiem Rusli (Ibnu/Gouffran)

* Warkah Untuk Mu - Ara Johari (Hang Nadim/Laq)

3082 dibaca
Berita Harian X