Sabtu, 13 Januari 2018 | 11:11pm

Konsert Festival GegaRia pukau 20,000 penonton

SHAH ALAM: Konsert istimewa Festival GegaRia yang membariskan himpunan nama popular memberi kepuasan maksimum kepada 20,000 pengunjung yang membanjiri perkarangan pentas utama Tapak Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi.

Setia menanti sejak awal petang, pengunjung bagaikan tidak sabar menyaksikan aksi terbaik De Fam, Noh Salleh, Akim & The Majistret dan Bunkface mempersembahkan lagu popular masing-masing.

De Fam yang tampil berdua tanpa Cik Manggis membuka tirai persembahan dengan penuh bertenaga membawakan lagu KL Love.

Aksi lincah mereka membuat penonton terbuai ketika menyanyikan lagu yang menaikkan nama De Fam iaitu Supergirls selain Bila Kamu.

Kedinginan malam bagaikan tidak terasa apabila penonton terus larut dengan kehebatan persembahan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh. Memilih tiga lagu iaitu Renjana, Kotak Hati dan Angin Kencang, kemunculan Noh mengubat kerinduan peminat yang dahaga menanti persembahan terbarunya.

Kumpulan yang kembali menghangatkan kegemilangan band indie tempatan, Masdo mengambil alih pentas menerusi tiga lagu iaitu Bunga, Teruna & Dara dan Bercanda di Malam Indah. Ditubuhkan pada 2015, Masdo kental memperjuangkan genre pop klasik menerusi album terbaru mereka, Selamat Tinggal Pujaan.


PENYANYI Noh Salleh membuat persembahan pada konsert Festival Gegaria di perkarangan pentas utama Tapak Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pengunjung seterusnya diulit keasyikan dengan aksi energetik kumpulan Akim & The Majistret. Suami kepada penyanyi Stacy, Akim yang bertindak sebagai vokalis memukau penonton dengan suaranya menerusi deretan lagu hits seperti Potret, Obses dan Lagu Untuk Laila.

Momentum yang dicetuskan Akim & The Majistret disemarakkan lagi dengan kemunculan trio Bunkface yang memukau ramai menerusi lagu Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku dan Darah Muda. Konsert itu menampilkan pasangan penyampai Kool FM, AG dan Haiza sebagai pengacara.

Penampilan barisan artis popular masa kini menjadi umpan yang menarik kehadiran pengunjung ke festival hipster ini, selari dengan pengisian acara yang begitu relevan untuk memenuhi aktiviti seisi keluarga dan generasi muda.

Percubaan Media Prima Bhd menganjurkan acara ini buat kali pertama wajar dipuji berdasarkan sambutan memberangsangkan yang diterima. Lebih 50,000 pengunjung membanjiri acara yang bermula sejak awal pagi itu.

Terdahulu petang tadi, pentas utama digegarkan dengan kemunculan enam finalis Anugerah Juara Lagu Ke-32 seperti Hael Husaini, Ernie Zakri, Syamel, Haqiem Rusli dan Salma yang menghiburkan peminat dengan lagu popular masing-masing.

Acara ini akan diteruskan di dua lokasi lain iaitu Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 3 Februari disusuli Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Februari.


AKIM & The Majistret membuat persembahan pada konsert Festival Gegaria di perkarangan pentas utama Tapak Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi. - Foto Mahzir Mat Isa

1325 dibaca
PENONTON membanjiri konsert Festival Gegaria di perkarangan pentas utama Tapak Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi. - Foto Muhammad Sulaiman
KUMPULAN Bunkface membuat persembahan pada konsert Festival Gegaria di perkarangan pentas utama Tapak Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi. - Foto Mahzir Mat Isa
KUMPULAN De Fam membuat persembahan pada konsert Festival Gegaria di perkarangan pentas utama Tapak Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi. - Foto Mahzir Mat Isa
PENONTON membanjiri konsert Festival Gegaria di perkarangan pentas utama Tapak Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi. - Foto Muhammad Sulaiman
SUASANA Konsert Istimewa GegaRia yang dirakam menggunakan dron ketika berlangsung di pentas utama Tapak Parkir B, Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi. - Foto ihsan Media Prima
Berita Harian X