Jumaat, 12 Januari 2018 | 10:26pm

Acara hipster, GegaRia sarat aktiviti untuk anak muda

KUALA LUMPUR: Generasi muda yang gemar berkongsi gambar kreatif dalam media sosial jangan lepaskan peluang berkunjung ke acara hipster, Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad di Shah Alam, esok.

Lokasi acara di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), bakal menjadi 'lubuk' bagi pemilik akaun media sosial mengabadikan pelbagai elemen kreatif seperti seni funky berasaskan objek harian yang digubah menarik.

Antara ditonjolkan adalah produk seni funky artis tempatan dan binaan struktur huruf gergasi berwarna-warni yang diilhamkan daripada rumah tradisional Melayu, yang sesuai diabadikan dalam foto.

Ciptaan seni funky daripada bahan kegunaan harian seperti tin biskut, teh tarik dan batik ditambah dengan seni estetika lain seperti tali warna dan layang-layang, pasti menarik perhatian pengunjung.

Menambah kehangatan, segmen persembahan artis terutama finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 seperti Hael Husaini, Ara Johari, Ernie Zakri, Syamel, Haqiem Rusli dan Salma pasti mencuri tumpuan ramai.

Menjelang malam, barisan artis seperti Noh Salleh, Bunkface, De Fam, Akim & The Majistret dan kugiran Masdo bakal menggegarkan pentas utama dalam konsert istimewa.

Dalam segmen berasingan sebelah siang, artis dan personaliti seperti Elfira Loy, Nabila Razali, Ainul Aishah, Nadia Brian, Nadzmi Adhwa, Reen Rahim, Chef Fikri dan Chef Naim turut bertemu peminat dan membuat demonstrasi masakan serta tatarias hijab dan mekap.

Dalam aktiviti bertemakan kenegaraan pula, pengunjung boleh melalui terowong atau kapsul mini untuk menyoroti sejarah pembangunan negara dengan acara gemilang setiap dekad ditonjolkan.

Terowong yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 6 petang itu membolehkan pengunjung mengamati koleksi foto dengan efek cahaya lampu dan muzik yang pasti membangkitkan nostalgia.

Daripada sudut kecergasan, orang ramai boleh menyertai acara zumba seawal jam 8 pagi yang diketuai jurulatih kecergasan terpilih iaitu Jessica Ong yang sedia menunggu 'kaki zumba'.

Selain zumba, pengunjung boleh bermain sukan rakyat seperti congkak, teng-teng, gasing, baling selipar dan jengga selain e-games yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM10,000.

Festival GegaRia yang diadakan sehari mulai jam 8 pagi hingga 10 malam itu turut menampilkan juadah Malaysia pelbagai citarasa dan trak makanan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Facebook dan Instagram GEGARIA.

212 dibaca
ANTARA hiasan sempena Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad di Shah Alam, esok. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PERSIAPAN Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad memasuki fasa terakhir menjelang acara itu di Shah Alam, esok. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PETUGAS melekatkan logo Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad di Shah Alam, esok. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PETUGAS menyiapkan kerja mengecat logo Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad di Shah Alam, esok. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KERJA-KERJA persiapan menjelang Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad di Shah Alam, esok. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X