Selasa, 13 March 2018 | 7:49pm
PENYANYI, Khai Bahar dan Wany Hasrita.

Biarlah rahsia - Khai Bahar

PUTRAJAYA: Penyanyi, Khai Bahar, 24, enggan mendedahkan sama ada dirinya melawat teman seperjuangan, Wany Hasrita, ketika artis wanita itu dimasukkan ke hospital, minggu lalu, bagi mengelakkan salah faham.

Katanya, biarlah persoalan berkenaan menjadi rahsia mereka berdua selain berharap ia tidak diperbesarkan kerana bimbang mengundang fitnah.

"Biarlah rahsia... Cuma saya dan dia (Wany) yang tahu. Paling penting, sebagai kawan saya doakan dia segera sembuh sebaik saja dimaklumkan mengenai berita terbabit.

"Bukan apa, kami cuma kawan baik. Saya sebenarnya tak kisah pun dikatakan rapat dengannya. Tetapi dalam soal melawat atau tidak, saya takut ada yang salah faham. Nanti mengundang fitnah pula," katanya pada majlis pelantikan dirinya sebagai duta produk C Clean+ di sini, hari ini.

Kata Khai, dia juga tidak kisah dipadankan dengan mana-mana rakan artis selagi ia tidak berlebihan, selain berasakan perkara berkenaan sekadar usikan.

"Rasanya bukan hanya Wany, malah saya turut dikaitkan dengan Ara. Biarlah, asalkan peminat 'happy' (gembira) dapat 'padankan' saya dengan penyanyi lain. Janji jangan lebih-lebih," katanya lagi.

Terdahulu, kebanyakan pengikut tegar kedua-dua penyanyi muda terbabit menganggap Khai dan Wany, 25, secocok sebagai pasangan kekasih selepas masing-masing muncul dalam sebuah program hiburan yang menyerlahkan keserasian mereka.

Sementara itu, ada peminat yang sanggup membuka akaun Instagram khas untuknya dan Wany, semata-mata seronok melihat keserasian dua artis berkenaan.

"Saya pun baru tahu ada peminat yang membuka akaun laman sosial, khusus untuk saya dan Wany. Setiap gambar atau aktiviti kami dikongsi di laman berkenaan," kata penyanyi yang meletup dengan lagu Luluh ini.

9025 dibaca
Berita Harian X