Khamis, 20 September 2018 | 3:01pm
Parlimen Australia meluluskan rang undang-undang meningkatkan hukuman penjara kepada 15 tahun daripada 10 tahun ke atas sesiapa yang didapati bersalah mencemarkan makanan.

Penjara 15 tahun jika cemar makanan

SYDNEY: Australia hari ini meningkatkan hukuman penjara kepada 15 tahuh ke atas sesiapa yang didapati bersalah mencemarkan makanan ketika penduduk negara itu dibayangi kebimbangan kes jarum dalam strawberi dan buah-buahan lain.

Polis sedang menyiasat lebih 100 laporan jarum untuk menjahit ditemui dalam strawberi yang memaksa petani membuang buah itu akibat penurunan permintaan.

Pada masa sama, isu itu mencetuskan kebimbangan terhadap industri yang bernilai A$160 juta itu (RM480.5 juta).

Parlimen Australia meluluskan rang undang-undang meningkatkan hukuman penjara kepada 15 tahun daripada 10 tahun ke atas sesiapa yang didapati bersalah mencemarkan makanan.

Keputusan itu selaras dengan bentuk hukuman yang dikenakan dalam kes pihak yang membiayai keganasan.

Ia juga menjadikan perbuatan menipu sebagai jenayah dengan pihak yang didapati bersalah boleh dihukum penjara 10 tahun.

“Keputusan ini menunjukkan sejauh mana seriusnya saya dalam menanganinya,” kata Perdana Menteri Australia, Scott Morrison kepada wartawan di Royalla, sebuah bandar 35 kilometer di selatan ibu negara, Canberra.

Rang undang-undang itu diluluskan dalam tempoh kurang sehari ketika ahli perundangan berusaha memulihkan keyakinan awam kepada industri strawberi. - Reuters

276 dibaca
Berita Harian X