Jumaat, 9 Februari 2018 | 8:21am
Ibu bapa murid di mesyuarat sekolah awam di Costa Rica membantah mengenai cadangan kurikulum pendidikan seks di sekolah.

20 sekolah dikunci bantah pendidikan seks

SAN JOSÉ: Sekumpulan ibu bapa bertindak mengunci 20 buah sekolah di Costa Rica sebagai membantah kelas pendidikan seks untuk remaja.

Bantahan pada hari pertama musim persekolahan itu dibuat kerana mereka menganggap ia sebagai pendedahan kepada seks songsang.

Menurut Kementerian Pendidikan, bantahan itu berlaku di beberapa kawasan di utara Amerika Tengah itu, kemudian merebak ke beberapa kawasan di selatan dan sekitar Limon.

Kumpulan ibu bapa terbabit turut lantang membantah pendidikan seks menerusi media tempatan dan tulisan di laman media sosial.

Rakaman video seorang lelaki tidak dikenali mendaftarkan anaknya di Sekolah Puerto Escondido di Pital, membantah program pendidikan seks itu turut tersebar.

"Kami tidak akan membenarkan pendidikan seks diajar kepada anak-anak kami. Kami bertindak merantai dan mengunci sebagai bantahan kepada program ini," katanya.

Bantahan dicetus oleh calon presiden yang juga seorang pendakwah Kristian yang secara terang-terangan menentang perkahwinan sejenis.

Fabricio Alvarado, adalah calon Parti Pemulihan Kebangsaan - parti Kristian sayap kanan.

Sementara itu, beberapa ibu bapa yang ditemuramah media Costa Rica berkata, mereka yakin pendidikan seks menggalakkan hubungan sejenis tetapi ia dinafikan kerajaan.

Menteri Pendidikan, Sonia Marta Mora meminta ibu bapa yang meragui program terbabit supaya menghubungi pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Program pendidikan itu sudah dilaksanakan sejak 2012 untuk pelajar remaja berusia 16 tahun di sekolah menengah kebangsaan. - AFP

1575 dibaca
Berita Harian X