Jumaat, 12 Januari 2018 | 12:37pm
REX Tillerson.- Foto AFP

Kapal menuju Korea Utara akan diperiksa

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan sekutu utamanya mencadangkan supaya pemeriksaan dibuat terhadap kapal menuju ke Korea Utara, dalam mesyuarat di Vancouver, Selasa depan.

Mesyuarat yang membincangkan mengenai program nuklear Korea Utara itu, bakal disertai beberapa lagi negara, kecuali China dan Russia.

Pengarah Jabatan Negara (Perancangan Dasar), Brian Hook, berkata Setiausaha Negara, Rex Tillerson sedang mencari jalan bagi melaksanakan mekanisme lebih praktikal bagi meningkatkan tekanan terhadap Pyongyang.

"Kami juga akan membincangkan mengenai larangan maritim," kata Hook ketika mengulas mengenai larangan terhadap mana-mana kapal laut dalam usaha menguat kuasa sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap rejim Kim Jong-un.

Bagaimanapun, sesetengah negara, termasuk sekutu Washington menganggap kaedah itu akan meningkat ketegangan ketenteraan atau bakal disalah tafsir sebagai tindakan perang oleh Jong-un.

Hook berkata, ia antara pelbagai cadangan yang bakal dikemuka dalam mesyuarat itu.

Jiran Pyongyang, iaitu China dan Russia tidak dijemput untuk menyertai perbincangan itu dan ramai mempertikaikan keberkesanan mesyuarat itu dengan ketiadaan pemain serantau yang berpengaruh. - AFP

988 dibaca
Berita Harian X