Rabu, 3 Januari 2018 | 7:53pm
MAHMOUD Abbas (kanan) dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Palestin tidak terancam ugutan Trump

RAMALLAH: Pemimpin Palestin menegaskan mereka tidak akan 'terancam' selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengugut memotong bantuan bernilai lebih AS$300 juta (RM1.2 bilion) setahun.

Hubungan di antara Rumah Putih dan Palestin semakin tegang selepas pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel oleh Trump bulan lalu.

Pengumuman pada 6 Disember itu mendorong Presiden Mahmoud Abbas mengatakan Amerika Syarikat tidak lagi mempunyai sebarang peranan dalam proses damai Asia Barat.

Ancaman Trump dalam tweet semalam untuk cuba memaksa Palestin kembali ke meja rundingan, membawa kepada kemarahan, walaupun langkah itu dipuji menteri rejim Zionis.

Palestin bergantung kepada bantuan antarabangsa, dengan ramai penganalisis, termasuk Israel, berkata bantuan seumpama itu membantu menstabilkan wilayah bergolak berkenaan.

"Kami memberikan bantuan ratusan juta dolar setahun kepada Palestin dan sebagai balasan kami tidak dihargai atau dihormati.

"Dengan Palestin tidak mahu lagi berunding, mengapa kami perlu beri bantuan kepada mereka?" menurut tweet itu.

Jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina, berkata mereka tidak menentang rundingan, tetapi ia perlu berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi yang mengiktiraf negara merdeka Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. - AFP

2194 dibaca
Berita Harian X