Jumaat, 12 Oktober 2018 | 7:24pm
KAPAL kargo Tunisia, Ulysee (kiri) melanggar kapal dari Cyprus, Virginia yang berlabuh kira-kira 30 kilometer di luar pesisir pulau Corsica, Perancis. - Foto AFP

Kapal tangki, kargo melekat selepas berlanggar

MARSEILLE: Dua kapal melekat, selepas berlanggar di Mediterranean sehingga menyebabkan minyak tumpah, namun keadaan pelik kedua-dua kapal itu memudahkan operasi mengumpul minyak, kata pegawai maritim Perancis.

Kemalangan itu berlaku pada Ahad lalu apabila kapal kargo Tunisia, Ulysee melanggar kapal dari Cyprus, Virginia yang berlabuh kira-kira 30 kilometer di luar pesisir pulau Corsica, Perancis.

Dalam satu kenyataan, semalam pihak berkuasa Perancis mengumumkan dua kapal itu berjaya dipisahkan.

“Ia hasil kesan ombak dan cubaan terdahulu untuk melepaskan kedua-dua kapal ini, kapal Ulysee sudah dipisahkan daripada kapal tangki Virginia,” kata mereka.

Setakat ini, masih tidak jelas apakah punca pelanggaran. Ia menyebabkan lubang besar pada badan kapal Virginia. Kira-kira 600 tan minyak tar bocor daripada kapal itu, kata pihak berkuasa.

Empat kapal Perancis dan empat kapal Itali terbabit dalam operasi mengawal tumpahan dan mengumpul sebanyak mana minyak yang mungkin.

Pihak berkuasa Perancis sudah melancarkan siasatan jenayah terhadap punca pencemaran itu. Kedua-dua kapal akan kekal di lokasi sehingga penyiasat menentukan kedua-dua kapal selamat untuk dipindahkan, kata pihak berkuasa. - AFP

869 dibaca
Berita Harian X