Khamis, 15 Februari 2018 | 8:32am
BEKAS Perdana Menteri Belanda, Ruud Lubbers. - Foto AFP

Bekas Perdana Menteri Belanda, Ruud Lubbers meninggal dunia

AMSTERDAM: Bekas Perdana Menteri paling lama Belanda, Ruud Lubbers meninggal dunia pada usia 78, semalam.

Jurucakap Kerajaan Belanda berkata, Lubbers yang berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian selepas bersara, meninggal dunia di sisi isteri dan anaknya.

Lubbers dilaporkan sakit sejak kebelakangan ini, hingga memaksa beliau berhenti daripada membuat sebarang penampilan awam.

Beliau dipilih sebagai Perdana Menteri Belanda ketika berusia 43 tahun dan memegang jawatan itu dari 1982 hingga 1994.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Mark Rutte, berkata Belanda kehilangan seorang tokoh negara yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Dilahirkan di Rotterdam pada 7 Mei 1939, Lubbers menamatkan perkhidmatan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas terbabit dalam salah laku seksual dengan seorang kakitangan agensi itu pada 2003.

Walaupun menafikan tuduhan itu, insiden terbabit memaksa Lubbers meletak jawatan dua tahun kemudian.

Fasih dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman, Lubbers mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan isterinya, Ria. - Reuters

281 dibaca
Berita Harian X