Rabu, 10 Januari 2018 | 9:20pm
- Foto hiasan

'Mayat' bangun sebelum bedah siasat

MADRID: Kakitangan rumah mayat di Sepanyol berhadapan pengalaman menakutkan apabila seorang banduan yang sudah diisytiharkan mati selepas membunuh diri, tiba-tiba bangun ketika mereka bersedia untuk melakukan bedah siasat ke atasnya.

Dalam penjara berhampiran Oviedo di utara Sepanyol, lelaki berkenaan yang dirahsiakan identitinya, ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan Ahad lalu, dan tiga doktor 'mendapati dia tidak menunjukkan tanda masih hidup', kata jurucakap pihak berkuasa penjara.

Media Sepanyol melaporkan lelaki itu adalah Gonzalo Montoya, 29, dan dipenjarakan kerana mencuri logam.

Dia dibawa ke Institut Perubatan Forensik Oviedo dan bangun ketika doktor hampir melakukan bedah siasat, kata bapanya, Jose Carlos Montoya.

"Dia sedar mereka membawanya keluar dan meletakkan dia di atas meja dan melakukan bedah siasat," katanya kepada wartawan, menambah anaknya tidak sedarkan diri selepas menelan pil dalam cubaan membunuh diri.

Carlos Montoya berkata, doktor sudah pun menandakan tubuh Gonzalo untuk tujuan bedah siasat.

Pihak berkuasa penjara dan kerajaan wilayah Asturias membuka siasatan berhubung kes itu. - AFP

9308 dibaca
Berita Harian X