Selasa, 9 Januari 2018 | 9:48pm

H&M tarik balik iklan berunsur perkauman

STOCKHOLM: Kumpulan H&M, hari ini memohon maaf kerana menyiarkan iklan memaparkan kanak-kanak kulit hitam mengenakan baju panas dengan slogan 'monyet paling bergaya dalam hutan'.

Syarikat fesyen terkemuka itu berkata ia sudah menarik balik iklan itu dalam kempen pemasarannya.

Iklan itu dikritik meluas kerana berunsurkan rasis, termasuk oleh bintang pop Kanada, The Weeknd', yang bekerjasama dengan H&M, kumpulan pengeluar busana kedua terbesar dunia.

Katanya, beliau tidak akan bekerjasama lagi selepas melihat iklan itu.

"Bangun pagi ini dengan terkejut dan malu dengan gambar ini. Saya amat terhina dan tidak akan bekerjasama dengan @hm lagi," kata The Weeknd, atau nama sebenarnya Abel Tesfaye, dalam Twitter lewat semalam.

Perkataan 'monyet' sudah lama digunakan segelintir pihak untuk penghinaan berunsurkan perkauman.

H&M Sweden, dalam kenyataan emel menyatakan ia memahami dan bersetuju dengan reaksi The Weeknd mengenai imej berkenaan.

"Kami amat kesal kerana gambar itu diambil, dan kesal dengan cetakannya," kata kumpulan itu.

Selebriti lain yang turut mengkritik iklan itu menerusi media sosial termasuk bintang rap Amerika Syarikat, Diddy dan pemain bola keranjang, LeBron James.

- Reuters

308 dibaca
Berita Harian X