Rabu, 14 Februari 2018 | 9:13pm
BENJAMIN Netanyahu. - Foto EPA

Polis Israel cadang dakwa Netanyahu

BAITULMAQDIS: Polis Israel semalam mencadangkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu didakwa atas tuduhan rasuah, sekali gus memberi cabaran terbesar terhadap kelangsungan politik pemimpin nasionalis itu.

Berlatar belakang bendera Israel dalam ucapan disiarkan secara langsung dari kediamannya, Netanyahu menyifatkan tuduhan itu tidak berasas, berikrar menghabiskan penggal keempat pemerintahannya.

Keputusan mengemukakan dakwaan itu kini terpulang kepada budi bicara peguam negara dan proses itu dijangka mengambil masa antara beberapa minggu hingga berbulan lamanya.

Cadangan itu, diumumkan polis malam semalam membabitkan tuduhan lebih serius ke atas Netanyahu berbanding dua siasatan jenayah sebelum ini yang berlarutan lebih setahun.

Satu daripada kes itu, dikenali sebagai Kes 1000, mendakwa Netanyahu atas tuduhan jenayah rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Dalam kenyataan terperinci, polis menamakan produser filem Hollywood dan rakyat Israel, Arnon Milchan dan ahli perniagaan Australia, James Packer, mengatakan selama hampir sedekad, dari 2007 hingga 2016, mereka memberi hadiah termasuk champagne, cerut dan barangan kemas kepada Netanyahu dan keluarganya.

Secara keseluruhan, semua barangan itu bernilai lebih AS$280,000 (RM1.09 juta), kata kenyataan itu.

Sebarang prosiding perundangan kemungkinan tertumpu jika mereka mendapatkan sokongan politik.

Peguam Netanyahu berkata, semua hadiah itu sebagai tanda persahabatan.

Kes kedua atau Kes 2000 mendakwa rasuah, penipuan dan pecah amanah Netanyahu dan penerbit akhbar paling laris Israel, Yedioth Ahronoth, Arnon Mozes.

Netanyahu sebelum ini menafikan salah laku dan beliau sudah disoal siasat beberapa kali oleh polis sejak awal 2017. -Reuters

590 dibaca
Berita Harian X