Khamis, 25 Januari 2018 | 4:43pm
BILL Richardson. - Foto REUTERS

Diplomat AS letak jawatan, kecam Suu Kyi

YANGON: Diplomat Amerika Syarikat (AS) Bill Richardson meletak jawatan daripada panel dilantik pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, ditubuhkan bagi meredakan ketegangan masyarakat di Rakhine.

Beliau didakwa mengecam pemenang Anugerah Nobel itu kerana 'ketiadaan kepimpinan bermoral' berkaitan krisis kemanusiaan di Rakhine selain tidak mengendahkan gesaan membebaskan dua wartawan Reuters yang ditahan.

Dalam satu kenyataan, bekas gabenor AS dan sekutu Suu Kyi itu berkata, beliau tidak dapat berkhidmat dengan baik kepada masyarakat yang kemungkinan hanya menutup punca di sebalik perpindahan besar-besaran etnik Rohingya.

Richardson juga menuduh Suu Kyi memberi 'tindak balas berang' terhadap gesaan beliau supaya membebaskan dua wartawan Reuters yang ditahan ketika melaporkan krisis Rakhine.

Wa Lone, 31, dan Kyaw Soe Oo, 27, ditahan Disember lalu dan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun mengikut Akta Rahsia Rasmi berhubung dakwaan memiliki dokumen sulit, dikaitkan kempen tentera di Rakhine.

Peletakan jawatan itu memberi tamparan umum memalukan buat Suu Kyi ketika kerajaan awamnya bergelut dengan krisis yang menyebabkan hampir 700,000 pelarian Islam Rohingya lari ke Bangladesh sejak Ogos lalu.

Jabatan Negara AS mengakui Richardson, pegawai kanan bersara dan bekas gabenor, menyertai Lembaga Penasihat Rakhine sebagai rakyat biasa, namun menambah, pentadbiran Washington berkongsi banyak kebimbangan beliau berkaitan krisis di Rakhine. -AFP

1346 dibaca
Berita Harian X