Ahad, 14 Januari 2018 | 8:05am

Iran tarik balik sekatan Telegram

DUBAI: Iran menarik balik sekatan terhadap aplikasi pesanan Telegram selepas menyekat perkhidmatan pesanan ringkas itu atas alasan keselamatan, lapor agensi berita IRNA.

Langkah itu dibuat ketika pasukan keselamatan berusaha mengawal bantahan awam yang kian menular di negara itu sejak 2009.

"Sumber memaklumkan sekatan terhadap perkhidmatan pesanan Telegram sudah ditamatkan dan pengguna mula menggunakannya," lapor IRNA.

Sekurang-kurangnya 22 orang mati dan 1,000 lagi ditahan ketika bantahan anti-kerajaan yang bermula penghujung Disember lalu.

Sebaik saja bantahan reda minggu lalu, kerajaan bertindak menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Instagram, salah satu media sosial yang dijadikan alat untuk menggerakkan penunjuk perasaan.

Seramai 40 juta pengguna Telegram di Iran dan pada penghujung Disember kerajaan bertindak menyekat perkhidmatan itu yang dikatakan menjadi penggalak keganasan.

Susulan sekatan itu, ramai dikalangan rakyat Iran menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) dan alat lain untuk memintas sekatan internet yang dikenakan kerajaan.

Menurut beberapa pegawai kerajaan, ratusan syarikat yang menggunakan aplikasi itu sebagai saluran pemasaran dan penjualan berdepan saat getir apabila ia disekat.

Presiden Hassan Rouhani dipetik sebagai berkata, kira-kira 100,000 orang kehilangan pekerjaan mereka.

Bagaimanapun capaian kepada aplikasi sosial lain yang lebih luas penggunaannya berbanding Telegram masih disekat.

Pihak berkuasa masih mengambil langkah berjaga-jaga jika kemungkinan tunjuk perasaan berulang kembali. - Reuters

150 dibaca
Berita Harian X