Rabu, 14 Februari 2018 | 5:05pm
RODRIGO Duterte.- Foto AFP

Filipina ikrar kempen dadah kurang ganas

MANILA: Polis Filipina hari ini berkata, mereka mengguna pakai langkah khas termasuk kamera tubuh bagi mengurangkan keganasan dalam operasi antidadah di negara itu.

Tindakan itu dibuat ketika Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat dakwaan ribuan pembunuhan dilakukan di luar undang-undang menerusi kempen memerangi dadah Presiden Rodrigo Duterte.

Lima hari selepas ICC melancarkan satu pemeriksaan awal ke atas dakwaan pembunuhan itu, pihak berkuasa berkata, jumlah suspek yang ditembak kakitangan penguat kuasa undang-undang meningkat kepada lebih 4,000 orang.

Pengkritik mendakwa, Duterte yang lantang dan berikrar membunuh puluhan ribu penjenayah bagi menghapuskan masyarakat dadah Filipina, menghasut polis membunuh suspek menerusi kenyataan menaikkan kemarahan.

"Kami yakin kali ini, operasi diperhebat polis ke atas penyalahgunaan dadah akan dijalankan dengan kecekapan lebih besar dan kurang konfrontasi ganas antara penguat kuasa undang-undang dan pesalah," kata jurucakap polis kebangsaan, John Bulalacao. -AFP

331 dibaca
Berita Harian X