Rabu, 10 Januari 2018 | 9:01pm

Jangan lagi letup kapal nelayan asing - Jusuf Kalla

JAKARTA: Pegawai kerajaan hari ini menggesa Menteri Perikanan Indonesia berhenti meletupkan bot asing yang ditahan kerana menangkap ikan secara haram.

Ini kerana dasar itu dilihat menjejaskan hubungan diplomatik dan industri perikanan.

Di bawah pentadbiran Susi Pudjiastuti, Indonesia memusnahkan ratusan kapal asing sejak 2014, antaranya bot China, Thai dan Vietnam, dalam usaha melindungi bekalan ikan dan nelayan tempatan.

Namun Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, berkata dasar itu akan menjejaskan hubungan dengan negara lain.

"Pada pandangan kerajaan, ia sudah cukup. Ia membabitkan hubungan kita dengan negara lain," kata Kalla, dalam ulasan yang dilaporkan akhbar Kompas dan disahkan jurucakapnya.

Pada 2015, China meluahkan 'kebimbangan serius' apabila satu daripada kapal nelayannya antara 14 yang diletupkan Indonesia.

Dewan Perniagaan Indonesia juga merungut mengenai pendekatan itu dan apa yang disifatkan sebagai kekurangan fokus kepada dasar membina yang merosakkan industri perikanan, dengan eksport produk perikanan semakin merosot.

"Kami meminta kerajaan memberi perhatian kepada aspek pengeluaran dan menambah pelaburan dalam sektor itu," kata anggota kanan dewan, Yugi Prayanto.

Pudjiastuti kerap tersenarai sebagai menteri paling popular sejak memegang jawatan pada 2014, disebabkan pendekatannya dalam menangani penangkapan ikan secara haram. - Reuters

4948 dibaca
Berita Harian X