Selasa, 9 Januari 2018 | 11:44pm

Pengguna dron di Thailand wajib daftar

BANGKOK: Pengguna dron di Thailand yang gagal mendaftar peranti mereka hingga hari ini berdepan hukuman penjara lima tahun atau didenda AS$3,000 (RM12,050.13), kata pihak berkuasa.

Peraturan itu yang diumumkan Oktober lalu namun berkuat kuasa minggu ini, meliputi hampir semua bentuk dron daripada komersial dan rekreasi hinggalah saintifik.

Sesiapa yang menggunakan dron tidak berdaftar selepas Selasa berisiko didenda 100,000 baht atau penjara maksimum lima tahun, menurut Pejabat Telekomunikasi dan Penyiaran Kebangsaan (NBTC).

"Semua jenis dron kecuali dron mainan perlu didaftarkan," kata seorang pegawai NBTC kepada AFP.

Peraturan pendaftaran bagaimanapun dikecualikan bagi dron berat di bawah 250 gram, sejajar dengan peraturan baharu di Amerika Syarikat (AS).

Thailand berkata, ia mendaftarkan hampir 8,000 dron setakat ini. Menerusi program pendaftaran itu, pengguna disyaratkan memperoleh lesen daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Peraturan itu diperkenalkan ketika Thailand mencapai kemuncak musim pelancong dengan jumlah pelawat melebihi 35 juta orang. -AFP

282 dibaca
Berita Harian X