Jumaat, 5 Januari 2018 | 6:57pm
ANGGOTA penyelamat menemui mayat dari sungai Musi di Palembang, Provinsi Sumatera Selatan.- Foto AFP

13 maut bot karam di Sumatera

PALEMBANG: Sekurang-kurangnya 13 maut selepas sebuah bot penumpang karam di perairan Sumatera, Indonesia, dua hari selepas kemalangan feri di negara kepulauan itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang, kata polis hari ini.

Ketua Polis Marin Sumatera Selatan, Robinson Siregar, berkata bot itu terlanggar ombak besar dan karam ketika membawa 55 penumpang melalui sungai Musi dalam cuaca buruk.

Katanya, polis kini masih mencari kapten bot itu yang dilaporkan terselamat tetapi menghilangkan diri.

"Pembantunya sudah ditahan untuk soal siasat sama ada bot itu dalam keadaan baik atau wujud faktor kelalaian oleh anak kapal," kata Siregar.

Mayat ditemui di sepanjang tebing sungai dengan satu ditemui penduduk tempatan sejauh kira-kira sejam berjalan kaki dari lokasi nahas.

Ia adalah kemalangan maritim terbaru paling buruk di Indonesia yang amat bergantung kepada bot untuk membawa penumpang ke lebih 17,000 pulau.

Namun, kebanyakan bot di negara itu mempunyai rekod keselamatan yang meragukan.

Pada hari sambutan Tahun Baharu, sekurang-kurangnya sembilan maut selepas sebuah bot penumpang karam ketika dalam perjalanan dari bandar Tarakan ke Tanjong Selor di Kalimantan. - AFP

297 dibaca
Berita Harian X