Rabu, 23 Mei 2018 | 2:38pm
PHILIP Roth meninggal dunia pada usia 85 tahun. - Foto REUTERS

Novelis Philip Roth meninggal dunia

NEW YORK : Novelis Amerika yang menghasilkan karya berunsur seksual, Portnoy's Complaint pada tahun 1969, Philip Roth meninggal dunia pada usia 85 tahun, semalam.

Ejen sastera Roth, Andrew Wylie memberitahu media Amerika Syarikat bahawa penulis itu meninggal dunia kerana komplikasi jantung.

Kematian mendiang yang pernah memenangi Hadiah Pulitzer pada tahun 1998 menerusi novel 'American Pastoral' itu mendapat liputan meluas Majalah The New Yorker dan New York Times.

Roth pernah menetap di New York dan Connecticut serta terkenal dengan lebih daripada 30 karya yang dihasilkan berdasarkan pengalaman hidup sebagai seorang Yahudi- Amerika.

Penulis itu semasa hayat pernah memberitahu, titik perubahan dalam hidupnya berlaku apabila menyedari semua pengalaman dan kata-kata boleh dizahirkan sebagai satu karya sastera, sama ada berkisarkan kepada cara beliau dibesarkan atau kampung halaman di New Jersey.

"Anda tidak boleh mencipta jika tiada apa-apa atau saya juga begitu. Saya memerlukan sedikit realiti untuk menghasilkan karya sebenar," katanya dalam satu dokumentari yang disiarkan pada tahun 2011.

Mendiang pernah memenangi pelbagai hadiah sastera AS selain Pulitzer, antaranya dua Anugerah Buku Negara, dua Anugerah Pengkritik Buku Nasional dan tiga anugerah PEN/Faulkner tetapi tersingkir dari memenangi Hadiah Nobel. - AFP

371 dibaca
Berita Harian X