Selasa, 22 Mei 2018 | 1:18pm
PEGAWAI veteran Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel mengangkat sumpah jawatan sebagai Pengarah wanita pertama agensi itu di Langley, semalam. - Foto AFP

Pengarah Wanita CIA pertama AS angkat sumpah

WASHINGTON: Pegawai veteran Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel mengangkat sumpah jawatan sebagai Pengarah wanita pertama agensi itu semalam, memuji 'heroin' terdahulu dan melahirkan harapan, beliau dan pasukannya akan menjadi 'contoh teladan.'

Haspel, 61, seorang pakar Russia, menghabiskan kerjayanya dalam perkhidmatan rahsia CIA, menggantikan Mike Pompeo, yang dilantik Presiden Donald Trump sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS).

Haspel disahkan jawatan itu oleh Senat minggu lalu menerusi undian 54 berbalas 45, walaupun keraguan mendalam sesetengah pembuat dasar berhubung pembabitan masa lalu beliau dalam penderaan suspek pengganas, era pasca insiden 11 September 2001.

"Saya mengenang heroin yang tidak pernah mendapat penghormatan terbuka, namun berkhidmat sebagai inspirasi kepada generasi yang datang selepas mereka," kata Haspel selepas mengangkat sumpah di hadapan Naib Presiden Mike Pence dan diperkenalkan oleh Trump.

Haspel menambah, beliau mahu pasukan kepimpinan CIA terkini menjadi contoh teladan dan mentor untuk generasi pegawai berikutnya.

Dalam ucapan pengenalan, Trump menganggap Haspel sebagai seorang individu amat istimewa yang secara unik layak mengetuai 'profesional perisikan paling elit di Bumi.'

"Musuh kita perlu ingat: Gina seorang yang tegas, kuat. Apabila bercakap mempertahankan AS, Gina tidak akan mengalah," kata Trump. -AFP

376 dibaca
Berita Harian X