Isnin, 21 Mei 2018 | 11:03am
GAMBAR fail yang diambil pada 2012 menunjukkan Bernard Lewis (kiri) ketika berkhidmat sebagai profesor di Universiti Princeton bersama Menteri Luar Afganistan, Abdoullah Abdoullah. - fOTO AFP

Sejarawan pro-AS, Israel meninggal dunia

WASHINGTON: Sejarawan Bernard Lewis, yang bukunya mempengaruhi banyak generasi sarjana Asia Barat tetapi mencetuskan polemik hangat, meninggal dunia di pusat jagaan di sini, Sabtu lalu, lapor The Washington Post. Lewis berusia 101 tahun.

Lewis yang dilahirkan di London dan menyumbang sebagai profesor di Universiti Princeton, adalah penyokong Perang Dingin, pro-Yahudi Israel dan tokoh berpengaruh kepada perancang di Rumah Putih serta Pentagon dalam serangan ke atas Iraq yang diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 2003.

Antara bukunya ialah The Arabs in History (1950); The Emergence of Modern Turkey (1961) dan The Crisis of Islam (2003).

Pengkritik bagaimanapun mengecam apa yang mereka panggil sebagai pandangan Lewis yang bersifat bertumpuan Eropah 'pertembungan peradaban' di Asia Barat.

Antara penyokong Lewis ialah diplomat terkenal AS yang baru dilantik.

"Bernard Lewis ialah sarjana sebenar dan individu hebat. Saya terhutang budi dengan karyanya dalam memahami Asia Barat," kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam media sosial Twitter.

"Bagi sebahagian, saya ialah cendekiawan unggul," kata Lewis kepada Chronicle of Higher Education pada 2012 seperti dipetik Post.

"Pada yang lain pula, saya jelmaan syaitan."

Salah seorang pengkritik, pakar Asia Barat dari Universitiy Columbia, Edward Said, menyelar Lewis sebagai 'saintis polisi yang aktif, pelobi dan propagandis' dalam kritikan balasnya kepada Lewis dalam New York Review of Books pada 1982.

Lewis membalasnya dengan menuduh Said yang juga pengarang buku berpengaruh, Orientalism (1978) sebagai 'melepaskan campuran cemuhan dan tuduhan serta sindiran yang tidak baik.' - AFP

653 dibaca
Berita Harian X