Ahad, 20 Mei 2018 | 6:54pm
GITAR Bob Dylan dijual mencecah setengah juta dolar (RM1.9 juta) dalam satu lelongan hari ini. - Foto AFP

Gitar Bob Dylan dilelong RM1.9 juta

NEW YORK: Gitar yang memainkan peranan penting dalam evolusi artistik pemuzik Bob Dylan, dijual mencecah setengah juta dolar (RM1.9 juta) dalam satu lelongan hari ini.

Fender Telecaster 1965, gitar milik pemain gitar Robbie Robertson itu pernah digunakan Dylan, Eric Clapton dan George Harrison, kata Julien's Auction hari ini.

Ia dijangka dilelong dengan harga di antara AS$400,000 (RM1.58 juta) hingga AS$600,000 (RM2.38 juta).

Gitar terkenal lain yang turut dilelong adalah gitar elektrik pertama milik George Harrison, Hofner Club 40 pada harga AS$40,000 (RM159,000) dan Fender Telecaster dari kayu rosewood yang dibuat untuk Elvis Presley pada 1968 dengan harga AS$115,200 (RM457,632).

Selain itu, tali pinggang sarat hiasan milik Elvis yang pernah dipakai ketika konsert di Hawaii pada 1972, dilelong pada harga AS$354,400 (RM1.4 juta).

Cincin berlian berbentuk bintang, pemberian Elvis kepada seorang peminat di sebuah konsert pada 1975 berjaya dilelong dengan harga AS$100,000 (RM397,250).

Kostum persembahan milik Elton John, Britney Spears dan Michael Jackson turut dilelong.

Jaket kulit dan seluar milik mendiang penyanyi 'Thriller' bersama kemeja kuning dilelong pada harga AS$217,600 (RM864,416), kata Julien. - AFP

203 dibaca
Berita Harian X