Ahad, 14 Januari 2018 | 8:08pm
AKTOR ternama Amerika Syarikat, Mark Wahlberg. - Foto AFP

Mark Wahlberg derma AS$1.5j lawan gangguan seks

NEW YORK: Aktor ternama Amerika Syarikat, Mark Wahlberg mengumumkan akan menderma AS$1.5 juta (RM5.97 juta) kepada dana guaman untuk mangsa gangguan seks susulan kontroversi jurang gaji yang besar di antara beliau dan seorang bintang wanita.

Pengarah filem Ridley Scott, terpaksa merakam semula sebahagian daripada filem terbaharunya, "All the Money in the World," selepas aktor Kevin Spacey dipecat atas beberapa tuduhan salah laku seks.

Wahlberg dan Michelle Williams dipanggil untuk melakonkan semula babak mereka dengan dengan pengganti Spacey, Christopher Plummer.

Williams dilaporkan di bayar kurang AS$1,000 (RM3,977.50) sementara Wahlberg dibayar AS$1.5 juta (RM5.97 juta) untuk penggambaran semula filem itu.

"Sejak beberapa hari lalu, bayaran untuk penggambaran semula lakonan saya dalam filem 'All the Money in the World' menjadi topik perbualan penting," kata Wahlberg dalam satu kenyataan.

"Saya menyokong 100 peratus perjuangan ke atas bayaran yang adil dan saya mendermakan AS$1.5 juta ini kepada Time's Up Legal Defense Fund di atas nama Michelle William," katanya.

Inisiatif Time's Up ditubuhkan oleh lebih 300 aktres serta penulis, pengarah, ejen dan eksekutif wanita lain pada awal bulan ini. Ia bertujuan mengatasi gangguan seks meluas di tempat kerja. - AFP

608 dibaca
Berita Harian X