Sabtu, 13 Januari 2018 | 1:14pm
PUSAT peranginan The San Ysidro Ranch berdekatan Santa Barbara musnah teruk dalam banjir lumpur yang melanda California Selatan. - Foto Reuters

Banjir lumpur musnahkan pusat peranginan 5 bintang

MONTECITO: Pusat peranginan lima bintang, The San Ysidro Ranch berdekatan Santa Barbara yang menjadi destinasi bulan madu Presiden John F Kennedy bersama isterinya, Jacquelline dilaporkan musnah teruk dalam banjir lumpur yang melanda California Selatan, minggu ini.

Jurucakap Kebakaran Daerah Santa Barbara, Mike Eliason memberitahu Reuters, ia berpunca daripada limpahan air sungai bercampur lumpur terletak di belakang kotej di ladang berkenaan.

Anggaran kerosakan ladang seluas 202 hektar terletak di kaki bukit hutan simpan Los Padres itu bagaimanapun belum diketahui.

Namun, beberapa pekerja sudah dipindahkan ke tempat lebih selamat dan perlu menunggu sekurang-kurangnya dua minggu untuk kembali ke tempat itu.

Ahli Kongres Amerika Syarikat dari parti Demokrat, Salud Carbajal yang melawat kawasan berkenaan hari ini, memberitahu Reuters, tempat itu seperti dilanda peperangan.


PUSAT peranginan The San Ysidro Ranch berdekatan Santa Barbara musnah teruk dalam banjir lumpur yang melanda California Selatan. - Foto Reuters

"Ia seperti zon perang yang baharu saja dibom,"katanya.

Selain Kennedy dan isteri, aktor Vivien Leigh dan Laurence Olivier pernah melangsungkan majlis perkahwinan di ladang berkenaan.

Sementara, bintang Hollywood seperti Audrey Hepburn dan Grouncho Marx gemar menghabiskan percutian mereka di situ ketika ladang berkenaan menjadi milik aktor pemenang Anugerah Akademi, Ronald Colman sekitar 1930- an.

Pemiliknya, jutawan jenama Beanie Babies, Ty Warner yang membeli pusat peranginan itu pada 2000 menolak untuk memberi sebarang komen.

2024 dibaca
Berita Harian X