Rabu, 14 Februari 2018 | 10:15pm

19 pendatang maut, nahas trak di Libya

TRIPOLI: Sekurang-kurangnya 19 pendatang maut hari ini dan lebih 100 lain dilaporkan cedera apabila trak membawa mereka terbabit nahas di Libya, kata hospital.

Lebih 300 pendatang, majoritinya warga Eritrea dan Somalia berada dalam kenderaan yang terbalik berhampiran bandar Bani Walid.

Seorang kanak-kanak antara yang maut dalam tragedi itu, kata ketua hospital di bandar terbabit, Salah al-Mabrouk pada AFP.

Hospital itu, sebelumnya melaporkan 23 mangsa terkorban, mendakwa sekurang-kurangnya 124 pendatang cedera dan bertungkus lumus merawat mereka.

"Beberapa mangsa menerima rawatan di tempat kejadian," kata jurucakap hospital, Salah al-Twijer.

Sejak penggulingan yang berakhir dengan pembunuhan diktator sekian lama, Muammar Gaddafi pada 2011, huru-hara di Libya menjadi punca utama pendatang berhijrah ke Eropah, biasanya dengan kapal tanpa dilengkapi ciri keselamatan.

Bani Walid, terletak di pinggir padang pasir berjarak 170 kilometer di tenggara ibu kota ini dijadikan titik transit bagi pendatang yang berhasrat menuju ke pantai Mediterranean. -AFP

141 dibaca
Berita Harian X