Rabu, 10 Januari 2018 | 9:58am
IMIGRAN warga pelbagai negara dari Afrika tiba di pangkalan tentera laut selepas mereka berjaya diselamatkan oleh pengawal pantai Libya, di Tripoli, Libya.- Foto Reuters

Lebih 100 imigran dikhuatiri hilang

TRIPOLI: Lebih 100 orang imigran dikhuatiri hilang selepas bot yang mereka naiki karam di Lautan Mediterranean, di luar pantai Libya.

Jurucakap tentera laut, Ayoub Kacem, berkata bot itu membawa lebih 100 penumpang ketika kejadian dan pasukan penyelamat berjaya menyelamat 17 mangsa, termasuk wanita.

Mangsa yang terselamat dikatakan berpaut pada bot itu beberapa jam sebelum bantuan tiba.

Ayoub berkata, bot itu karam di luar pantai bandar Khoms, kira-kira 100 kilometer ke timur ibu negara Libya.

Sementara itu, dalam satu lagi insiden berasingan, tentera laut Libya berkata, mereka berjaya menyelamatkan 267 imigran warga pelbagai negara dari Afrika di kawasan perairan Zawiya hingga barat Tripoli.

Ayoub berkata, antara yang berjaya diselamatkan ialah wanita dan 17 kanak-kanak, namun cuaca buruk menyukarkan operasi menyelamat.

Menurut beberapa pertubuhan bantuan, sepanjang minggu ini, 10 imigran ditemui mati dan puluhan yang lain, termasuk kanak-kanak hilang di perairan Libya. - AFP

385 dibaca
Berita Harian X