Rabu, 3 Januari 2018 | 7:00pm

14 korban serangan nekad di masjid

KANO: Empat belas jemaah maut apabila seorang pengebom nekad menyerang masjid di sempadan Nigeria dengan Cameroon, kata pasukan sukarelawan awam.

Seorang yang disyaki anggota Boko Haram meletupkan dirinya di dalam masjid di Gamboru sekitar jam 5.00 pagi (0400 GMT) sebelum solat subuh.

"Empat belas mayat ditarik keluar dari runtuhan. Cuma bilal yang selamat dan kami percaya banyak lagi mayat tertimbus di bawah runtuhan.

"Angka kematian berkemungkinan meningkat," kata anggota militia awam, Umar Kachalla, sambil menambah masjid berkenaan musnah.

Seorang pengawal awam, Shehu Mada., berkata sejam sebelum itu pasukan peronda mengesan empat suspek pengebom di pinggir bandar dan menahan seorang daripada mereka.

"Dua daripada mereka berpatah balik dan melarikan diri manakala yang keempat hilang dalam gelap dan kami percaya dia yang menyerang masjid," katanya.

Pemberontakan Boko Haram selama lapan tahun menentang kerajaan yang merebak ke negara jiran seperti Niger, Chad dan Cameroon, sudah mengorbankan sekitar 20,00 orang dan menyebabkan 2.6 juta lagi kehilangan tempat tinggal. - AFP

234 dibaca
Berita Harian X