Isnin, 17 September 2018 | 12:02am
AMIR menunjukkan antara produk DRSB. - NSTP/Sairien Nafis

Berguru dari 'pakar' kunci kejayaan DRSB

KUALA LUMPUR: Belajar dari yang berpengalaman menjadi asas utama kejayaan Mohd Amir K Baba, 47, sepanjang 18 tahun menguruskan perniagaan miliknya, Dayarena Resources Sdn Bhd (DRSB).

Berasal dari keluarga susah, Pengasas DRSB itu mengakui perjalanannya untuk menjadi usahawan berjaya tidak mudah, berikutan pelbagai cabaran perlu dihadapi.

Namun, sikap terbuka untuk mempelajari ilmu keusahawanan secara terus dari usahawan berjaya serta berkat mencontohi mereka, menjadi antara rahsia utama pencetus kejayaan Amir.

"Kebanyakan pengalaman pengurusan perniagaan yang saya peroleh adalah dari tempoh 13 tahun bekerja di pelbagai syarikat di ibu negara, bermula sebagai pembantu sehinggalah menjadi pengurus operasi di sebuah hospital.

“Sepanjang tempoh itu saya banyak berurusan dengan orang kenamaan termasuk usahawan berjaya dan bagi saya, setiap daripada mereka mempunyai kisah tersendiri bagaimana mengharungi cabaran untuk mendirikan perniagaan masing-masing.

“Semua kisah itu menjadi inspirasi penting buat saya,” katanya yang turut melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan di Australia, ketika bekerja di bawah bimbingan usahawan berjaya.


AMIR menunjukkan produk DRSB. - NSTP/Sairien Nafis

Gabungan idea dua beradik

Mengenai DRSB, Amir berkata syarikat pembekal peralatan mekanikal dan elektrik itu ditubuhkan pada 2000 hasil kerjasama dengan adik bongsunya, Abdul Samad K Baba, 46.

“Idea menubuhkan DRSB tercetus apabila saya merasakan sudah tiba masa untuk berhenti bekerja di bawah orang lain dan cuba menjana pendapatan lebih banyak dengan bekerja sendiri.

“Menerusi perbincangan bersama adik bongsu saya itu, kami berjaya wujudkan DRSB selepas mengambil kira kepakaran Samad dalam bidang mekanikal dan elektrik, manakala kemahiran saya pula dalam bidang pengurusan dan perhubungan awam,” katanya.

Amir berkata, di DRSB beliau terbabit secara langsung dalam hal pengurusan selain aspek jalinan usaha sama dengan syarikat lain, manakala Samad menumpukan kepada soal pemilihan produk.

"DRSB memasarkan pelbagai produk dalam sektor mekanikal dan elektrik, antaranya pengukur kuasa elektrik, sistem amaran api, sistem voltan tinggi, teknologi maklumat, alat ganti aeroangkasa dan ketenteraan, monitor serta penjanaan kuasa.

"Alhamdulillah DRSB berjaya menjalin usaha sama untuk pasarkan produk kepada banyak syarikat termasuklah Tenaga Nasional Bhd (TNB). Selain itu, kami turut terbabit dalam perkhidmatan uji dan kalibrasi peralatan serta pembinaan," katanya.

Amir berkata, DRSB turut meneroka sektor lain untuk mempelbagaikan bidang perniagaan seperti makanan dan minuman (F&B), pakaian, pencetakan serta automotif.

"Kami mempunyai dua restoran yang dinamakan Lagenda Malaya yang menghidangkan makanan tempatan. Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan menjahit serta memiliki sebuah kedai percetakan dan bengkel kereta yang baharu dibuka pada awal bulan lalu.

"Keputusan menceburi sektor berbeza ini disebabkan permintaan yang kian meningkat dan kami merasakan ini peluang terbaik untuk menjana pendapatan lebih banyak,” katanya.


AMIR (kanan) memeriksa produknya sebelum dipasarkan. - NSTP/Sairien Nafis

Asas kukuh beri kelebihan

Amir mengakui beliau tidak mempunyai kepakaran dalam setiap sektor baharu yang diceburi, namun asas kukuh dalam mendirikan sebuah perniagaan yang dimiliki memberi banyak kelebihan kepada dirinya.

"Kebiasaannya, saya akan buat perancangan teliti untuk bentuk sebarang perniagaan, manakala aspek pengurusan diserahkan kepada individu dilantik yang mempunyai pengalaman dalam bidang yang ingin diceburi.

“Untuk pelantikan pekerja, kami lebih gemar memilih graduan universiti yang ingin mencari pengalaman atau tidak berpeluang mendapat pekerjaan di tempat lain," katanya yang kini mempunyai hampir 80 pekerja di bawah DRSB dan anak syarikat.

Amir berkata, beliau tidak bercadang mengembangkan perniagaan buat masa kini, sebaliknya menyasarkan untuk mewujudkan platform untuk melahirkan lebih ramai usahawan.

"Kami ingin wujudkan satu platform supaya dapat berkongsi rahsia di sebalik impian menjadi usahawan berjaya," katanya.


AMIRmengakui perjalanannya untuk menjadi usahawan berjaya tidak mudah, berikutan pelbagai cabaran perlu dihadapi. - NSTP/Sairien Nafis

Info:
Dayarena Resources Sdn Bhd

  • Ditubuhkan pada 2000 dan mula beroperasi dua tahun kemudian
  • Syarikat pembekal peralatan mekanikal dan elektrik
  • Mempunyai lima anak syarikat
  • Sektor diceburi - makanan dan minuman (F&B), pakaian, pencetakan dan automotif
Berita Harian X