Khamis, 8 Februari 2018 | 5:07pm
PENGARAH SME Corp Malaysia Johor, Wan Jusaini Rizal Wan Nasruddin (dua dari kanan) alumni yang sudah berjaya dalam perniagaan menerusi Program TUBE terdahulu pada majlis Sesi Temuduga TUBE 5.0 yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Johor Bahru.- Foto Nurul Amanina Suhaini
ANTARA peserta yang hadir pada majlis Sesi Temuduga TUBE 5.0 yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Johor Bahru.- Foto Nurul Amanina Suhaini

RM2.1 juta geran perniagaan untuk usahawan belia Johor

JOHOR BAHRU: SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperuntukkan geran perniagaan berjumlah RM2.1 juta tahun ini menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kepada 140 usahawan belia Bumiputera di negeri ini.

Pengarah SME Corp Malaysia Johor, Wan Jusaini Rizal Wan Nasruddin, berkata inisiatif itu mendorong lebih ramai generasi muda memilih bidang perniagaan dan keusahawanan sebagai kerjaya.

Katanya, program yang diperkenalkan sejak 2014 itu bukan sahaja membantu peserta memulakan perniagaan, malah memperoleh manfaat menerusi Persatuan TUBE di setiap negeri serta perkongsian pengalaman bersama alumni TUBErs sedia ada dalam menjalankan perniagaan.

"Di Johor, SME Corp Malaysia menerima 1,701 permohonan atas talian pada tahun ini daripada sebanyak 18,893 permohonan dari seluruh negara.

"Peserta yang memohon berusia antara 18 hingga 30 tahun ini akan menjalani sesi temu duga sebelum layak menyertai Program TUBE.

"Ia membabitkan tiga fasa iaitu ujian ketabahan minda dan jasmani, operasi perniagaan berkesan bagi meningkatkan pengetahuan serta panduan perniagaan menerusi sistem Buddy," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Sesi Temuduga TUBE 5.0 di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Wan Jusaini Rizal berkata, seramai 255 usahawan belia Johor sudah menyertai program ini dan berjaya memulakan perniagaan, dengan nilai jualan tahunan dijana mencecah RM3.35 juta, sejak program diperkenalkan.

Katanya, kejayaan usahawan Johor menerusi program TUBE juga mewujudkan 385 jawatan dalam pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan jumlah geran membabitkan RM1.719 juta.

"Kami menyasarkan 1,188 usahawan belia Johor dilatih sehingga tahun 2020 menerusi program berkenaan," katanya.

364 dibaca
Berita Harian X