Ahad, 4 Februari 2018 | 9:44pm

PTD beralih usahawan produk kulit

Setiap pekerjaan memiliki cabarannya yang berbeza. Namun, bagi anak jati Kota Bharu, Kelantan ini lebih memilih untuk bekerja sendiri yang bersandarkan kepada keupayaan kreativiti dan kemahiran yang tinggi.

Semuanya bermula daripada minat dan hobi terhadap barangan kulit yang menyebabkan usahawan muda bernama Faisal Mohamed ini mengambil langkah berani meninggalkan kerjaya stabil sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 2015.

Bagaimanapun, keputusan yang diambil adalah langkah tepat apabila pemuda berusia 37 tahun ini tanpa menoleh ke belakang terus mencipta 'empayarnya' tersendiri dalam dunia penghasilan kraf barangan kulit.

Pengasas dan Pengarah Urusan Pesakraf Sdn Bhd itu menganggap percaturannya untuk bertukar bidang berbaloi, apabila kini secara sepenuh masa menguruskan perniagaan barangan kulitnya.

"Memang pada mulanya Pesakraf ini wujud disebabkan minat dan hobi terhadap barangan kulit. Pada 2011, saya hanya menjalankan secara kecil-kecilan dan setahun selepas itu saya mula menjenamakan produk saya.


PENGASAS dan Pengarah Urusan, PESAKRAF, Faisal Mohamed, bersama sebahagian barangan cenderamata berasaskan kulit yang dihasilkan di studio PESAKRAF di Puchong. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Sehinggalah pada 2015 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memfokuskan kepada Pesakraf sepenuh masa.

"Bermodalkan wang simpanan sendiri kira-kira RM40,000, saya terus mengorak langkah dalam dunia perniagaan ini," katanya ketika ditemui di studio yang juga pejabat urusannya di Puchong Gateway, baru-baru ini.

Mementingkan kualiti dan ketelitian dalam penghasilan produk, Pesakraf kini mula dikenali, terutama dalam kalangan syarikat terkemuka tempatan dan juga bertaraf antarabangsa.

"Bagi saya, menghasilkan sesuatu produk bukan sekadar melihat kepada fungsinya, tetapi lebih kepada nilai yang dimiliki pada barangan itu.

"Sesiapa sahaja boleh belajar dan menjahit barangan kulit. Malah, dengan hanya bermodalkan sekeping kulit dan peralatan asas, mereka sudah mampu menghasilkan produk sendiri.


NAMA pelanggan dicetak khas diatas barangan cenderamata berasaskan kulit di studio PESAKRAF di Puchong. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Namun, hanya mereka yang tahu menghargai kerja tangan kraf kulit sahaja yang dapat menilainya, terutama dari segi kemasan jahitan serta kesenian rekaannya. Justeru, tidak menghairankan jika mereka tidak 'lokek' untuk berbelanja bagi mendapatkan nilai seni itu," katanya.

Menerusi platform media sosial serta 'kuasa' pelanggan yang mengagumi produk Pesakraf, jenama itu bukan hanya sudah dikenali pada peringkat domestik, tetapi turut memiliki pasaran tersendiri di luar negara seperti Singapura, Brunei dan Turki.

"Selain tempahan tempatan yang sebahagian besar diterima daripada syarikat besar dan individu perseorangan, saya juga tidak menang tangan untuk menerima tempahan daripada pelanggan luar negara.

"Namun, buat masa ini, Pesakraf berusaha untuk menumpukan pasaran domestik dan memperkukuhkan lagi jenama ini. Mungkin dalam tempoh lima tahun lagi, Pesakraf akan memiliki butik barangan kulit sendiri di negara ini," katanya.

Faisal yang menerima sokongan penuh serta semangat daripada isteri dan keluarga, kini turut menggembleng tenaga memperkukuhkan Pesakraf dengan rakan kongsi merangkap pengarah kewangannya, Wan Dinie Wan Ashrafi.


PENGASAS dan Pengarah Urusan, PESAKRAF, Faisal Mohamed (kanan), membantu kakitangannya membuat potongan ke atas kulit untuk dibuat cenderamata di studio PESAKRAF di Puchong. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Cabaran kami adalah untuk memastikan produk ini diterima serta dikenali ramai di Malaysia. Lebih penting, menyusun strategi untuk memastikan kami terus bertahan dan berdaya saing dalam dunia perniagaan ini," katanya.

Antara produk yang dihasilkan di Pesakraf seperti tali jam, tali pinggang, beg tangan, dompet, pemegang kad dan pasport, rantai kunci dan cenderamata korporat.

Harga ditawarkan bergantung kepada reka bentuk, bahan yang digunakan serta kesukaran membuatnya. Barangan Pesakraf dijual daripada puluhan ringgit sehingga ribuan ringgit.

Selain menyiapkan tempahan pelanggan, Faisal turut menawarkan latihan dan bimbingan menerusi kelas di studionya.

Pesakraf pada masa ini, turut berupaya menggajikan lebih tujuh pekerja tempatan dan merancang untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan pada masa tempatan, terutama kepada rakyat tempatan.


ANTARA barangan cenderamata berasaskan kulit di studio PESAKRAF di Puchong. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Info:
Nama: Faisal Mohamed
Usia: 37 tahun
Status: Berkahwin
Akademik: Graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia

Asal: Kota Bahru, Kelantan.

Berita Harian X