Jumaat, 2 Februari 2018 | 7:18pm

MIHAS 2018 platform terbaik masuk pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 yang akan diadakan selama lima hari mulai 4 April ini akan menjadi platform terbaik dan terbesar bagi syarikat peneraju industri halal untuk memperkenalkan produk mereka di peringkat antarabangsa.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Promosi, Makanan, Biotek dan Perdagangan Halal, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mohd Aminuddin Sham Tajudin berkata, ekspo perdagangan halal terbesar dunia itu akan diadakan buat julung kalinya di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Katanya pameran itu akan disertai oleh pelbagai syarikat antaranya dari negara-negara ASEAN, Turki, Afrika Selatan, Palestin, Iran, Emiriah Arab Bersatu, China, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

Beliau berkata industri halal semakin berkembang maju dan pertumbuhannya dirangsang oleh permintaan tinggi daripada penduduk Islam dan juga bukan Islam di seluruh dunia.

"Kami menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung sebanyak 10 hingga 15 peratus iaitu 26,000 orang akan mengunjungi MIHAS pada tahun ini dengan lebih 1,000 ruang pameran," katanya.

Aminuddin berkata, pemilihan lokasi baharu itu mampu menarik lebih ramai pempamer untuk mengetengahkan produk mereka pada pameran berkenaan.

Katanya MIHAS 2018 juga akan menampilkan beberapa sektor baharu yang dijangka memberi kepuasan kepada pengunjung untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai sektor produk halal.

"Antara sektor baharu itu adalah perkhidmatan kewangan dan takaful, logistik halal, perdagangan digital dan pelancongan," katanya.

Sementara itu, katanya Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) juga menjanjikan kualiti pembeli asing yang lebih baik dalam membantu syarikat tempatan melopori pasaran global.

"Pembeli berkualiti premium dari seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam pertemuan perniagaan dengan pengeksport Malaysia untuk mengetahui mengenai produk dan perkhidmatan halal yang dapat dipasarkan ke luar negara," katanya.

Beliau juga berkata sebanyak 46 buah pejabat Matrade di seluruh dunia kini giat mengenal pasti syarikat yang berminat untuk membeli produk halal dari negara ini.

Pada tahun lalu, INSP menjana jualan bernilai RM300 juta dan lebih 2,000 pertemuan perniagaan telah diatur dengan 156 pembeli asing dari 44 buah negara.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pameran tersebut, mereka boleh melayari www.mihas.com.my. --BERNAMA

157 dibaca
Berita Harian X