Rabu, 31 Januari 2018 | 11:30pm
SHUHAIMI (tengah), Muhamad Akhmal dan wakil NAFAS Freedmills, Saiful Nurul Iman.

Makanan haiwan berasaskan isi rung kelapa sawit

SERDANG: Kos makanan haiwan yang semakin mahal di pasaran, berikutan peningkatan harga ramuan import seperti jagung dan kacang soya mencetuskan idea kepada penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), menghasilkan produk inovasi dinamakan Thohira Synbiotics.

Produk itu dibangunkan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Prof Dr Shuhaimi Mustafa dan Pensyarah FBSB, Prof Madya Dr Yunus Abd Shukor dengan kerjasama Ketua Pegawai Eksekutif Halways Sdn Bhd (Halways), Muhamad Akhmal Hakim Roslan serta Ketua Pegawai Pengurusan syarikat sama, Muhamad Amin Jahari.

Shuhaimi yang juga ketua kumpulan penyelidik itu berkata, inovasi berkenaan menyaksikan penghasilan makanan haiwan berasaskan isi rung kelapa sawit (PKC) bersama sinbiotik yang membentuk enzim, protein dan metabolit bagi meningkatkan kandungan nutrisi serta prebiotik produk terbabit.

"PKC adalah sisa industri kelapa sawit yang mempunyai nutrisi rendah dan tidak sesuai dijadikan makanan ikan dan ayam, namun rumusan Thohira Synbiotics berjaya meningkatkan nutrisinya, selain membolehkan ia digunakan dalam formula makanan ternakan tanpa memberi kesan buruk kepada haiwan.


PRODUK inovasi Thohira Synbiotics yang dibangunkan.

Menggalakkan tumbesaran

"Inovasi ini bukan sahaja menggalakkan tumbesaran haiwan ternakan dan menawarkan kos lebih ekonomik, tetapi juga meningkatkan keuntungan penternak," katanya ketika dihubungi.

Shuhaimi berkata, produk dibangunkan dalam kualiti suci, bersih dan sesuai digunakan penternak Muslim itu menggunakan teknologi yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import, seperti jagung serta kacang soya untuk makanan ternakan.

Beliau berkata, makanan ternakan mengandungi teknologi seperti Thohira Synbiotics akan memiliki kandungan nutrisi dan prebiotik yang meningkatkan kualiti makanan, malah merangsang pertumbuhan mikroorganisma baik di dalam sistem penghadaman haiwan.

Katanya, inovasi dilesenkan kepada syarikat Halways itu kini berada di pasaran melalui produk makanan ternakan industri akuakultur sejak Mac 2017, manakala bagi industri unggas syarikat berkenaan sedang mengujinya di ladang ayam pedaging berskala komersial.

"Halways turut bekerjasama dengan NAFAS Freedmills Sdn Bhd (NAFAS Freedmills) iaitu anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam mengaplikasikan teknologi Thohira Synbiotics, bertujuan menghasilkan produk makanan ternakan ekonomi berprestasi tinggi mengikut keperluan dan kehendak industri berskala besar," katanya.

INFO

  • RM100,000 pembiayaan kos pembangunan inovasi yang diperoleh melalui geran UPM.
  • 15-20 peratus kos penternak boleh dikurangkan.
  • Januari 2015-Mac 2017 tempoh penyelidikan.

Berita Harian X