Selasa, 23 Januari 2018 | 10:00pm

Holstein pindah teknologi penternakan canggih

PUTRAJAYA: The Holstein Milk Sdn Bhd (Holstein) kini tidak hanya berfungsi sebagai penghasil tenusu terbesar negara, sebaliknya turut melakukan pemindahan teknologi khususnya permanian beradas bagi menghasilkan baka bermutu.

Bermula dengan hanya 100 ekor lembu tenusu pada 2009, Holstein terus berkembang dengan memiliki lebih 5,000 ekor lembu tenusu baka Australian Friesan Shahiwal (AFS).

Menerusi anak syarikat, Farm Fresh, syarikat tempatan itu mempunyai tiga ladang iaitu Lembah Tenusu Muadzam di Pahang; Mawai, Kota Tinggi dan Lembah Tenusu Desaru, Bio Desaru di Johor.

Ketua Pengarah Operasinya, Azmi Zainal, berkata antara keistimewaan ladang Holstein itu adalah penggunaan teknologi mensenyawakan baka lembu jenis AFS di Melbourne, Australia sebelum menghantarnya ke negara ini.


KETUA Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein) Azmi Zainal menunjukkan produk Desaru Cheese. - Foto Samadi Ahmad

DESARU Cheese. - Foto Samadi Ahmad

Katanya, operasi ladang ternakan bernilai antara RM55 juta hingga RM60 juta itu menjadi asas kepada syarikat untuk mensenyawakan baka lembu sebelum diimport, sekali gus mempercepatkan pembangunan genetik tanpa bergantung kepada ternakan lembu di negara ini.

Program itu bertujuan menyediakan hubungan langsung antara sains dan amalan supaya sektor ternakan negara menjadi lebih inovatif dan seterusnya mendapat manfaat daripada amalan pertanian baharu.

"Di samping menghasilkan susu yang bermutu, baka jenis AFS terbukti mampu hidup di Malaysia dan boleh dieksport ke negara beriklim tropika dan seterusnya mengembangkan sektor pertanian ke negara berkenaan," katanya kepada BH.

Ketika ini, Farm Fresh mampu mengeluarkan kira-kira tujuh juta liter susu segar setahun dan menguasai lebih daripada 39 peratus pasaran susu segar di Malaysia.

Walaupun kebanyakan produk tenusu di negara ini diimport sebagai susu bancuhan dengan menggabungkan susu segar, susu tepung, pepejal dan pengawet dalam produk mereka, Holstein kekal sebagai syarikat yang memasarkan susu segar terus dari ladang.


THE Holstein Milk Company Sdn Bhd pengeluar produk jenama 'Desaru Cheese'. - Foto Samadi Ahmad

Selain mengeluarkan susu segar, syarikat itu turut menghasilkan dadih berperisa mangga, buah pic, beri campuran, buah tin dan labu.

Produk keluaran terbaharu Holstein adalah Keju Desaru Cheese yang mendapat pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Azmi berkata, pihaknya turut mewujudkan usahawan tenusu melalui program khidmat sosial korporat (CSR) bagi membantu usahawan tenusu yang baharu menceburi bidang berkenaan.

Beliau yakin lebih ramai peladang satelit dapat diwujudkan melalui kaedah itu yang mana usahawan akan dibekalkan baka lembu dan kos pembayaran semulanya akan dipotong melalui penjualan hasil tenusu kepada Holstein.

Katanya, Holstein turut membantu mewujudkan pendapatan sampingan kepada orang ramai yang berminat menjadi ejen khas di rumah yang dikenali sebagai 'Home Dealer' bagi memasarkan produk susu berkenaan di seluruh negara.


THE Holstein Milk Company Sdn Bhd pengeluar produk jenama 'Desaru Cheese'. - Foto Samadi Ahmad

"Sehingga kini, ada lebih 300 orang 'Home Dealer' yang aktif melaksanakan pengedaran dan pemasaran produk susu segar Holstein, merangkumi suri rumah, kakitangan kerajaan, swasta dan belia yang menganggur selain mereka yang benar-benar berminat untuk membuat pemasaran.

"Pengedar yang dilantik bukan sahaja dapat mempromosi produk terbabit dengan baik, malah turut mampu meraih pendapatan sekitar RM700 hingga RM3,000 sebulan dengan hanya menjual produk dari rumah dan media sosial.

"Pencapaian mereka membuktikan usahawan mikro yang diwujudkan oleh Holstein menerusi jenama Farm Fresh mampu menjana pendapatan, sekali gus membantu mengubah kehidupan mereka," katanya.

Azmi berkata, produk susu segar sebenarnya tidak mencukupi di negara ini dan lebih banyak bergantung kepada produk luar yang berharga mahal namun tidak pasti akan kesegarannya yang sebenar.

Katanya, industri tenusu sememangnya menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan dengan baik, pada masa ini 95 peratus susu diimport dan hanya lima peratus dikeluarkan di negara ini.


KETUA Pengarah Operasi The Holstein Bio Desaru, Desaru, Johor, Azmi Zainal (berdiri lima dari kanan) bergambar bersama pengedar susu Holstein. - Foto Samadi Ahmad

Pada penghujung 2019, Holstein turut bercadang membangunkan sebuah taman bercirikan Taman Morassic di Lembah Tenusu Muadzam Pahang berkonsepkan pelancongan.

Taman berkonsepkan 'Kota Cowboy' bernilai melebihi RM20 juta itu akan dilengkapi chalet, taman buah-buahan tempatan serta sebuah mini zoo binatang peliharaan, di samping memperkenalkan trend percutian baharu seolah-olah berada di ladang lembu luar negara yang pasti menarik hati.

INFO
Holstein

  • Produk susu jenama Farm Fresh dikeluarkan The Holstein Milk Sdn Bhd (Holstein) adalah ¬†syarikat pelaburan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
  • Holstein bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengadakan teknologi berkaitan penternakan.

  • DESARU CHEESE keluaran Holstein mendapat pengiktirafan JAKIM. - Foto Samadi Ahmad

  • Holstein memegang lebih 38.3 peratus pasaran susu segar di Malaysia dan menghasilkan lebih satu juta botol susu segar sehari.
  • Holstein adalah syarikat induk yang mengendalikan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) milik Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Pahang.
  • Holstein juga pernah menerima anugerah Outstanding Dairy Farm Award dari Livestock Asia pada tahun 2015 berdasarkan penghasilan susu jenama Farm Fresh yang telah dihasilkan.
Berita Harian X