Rabu, 17 Januari 2018 | 10:33pm
ANTARA bahan yang digunakan untuk membuat lampu cincin ialah paip PVC, mentol lampu berbentuk cincin, wayar dan kepala suis. - Foto Mohd Nazllie Zainul
LAMPU cincin menjadi pilihan pengguna laman sosial Facebook khususnya mereka yang berkecimpung dalam bidang solekan. - Foto Mohd Nazllie Zainul
AK Syamasullaili berhasrat menghasilkan lampu cincin yang boleh dicas semula supaya lebih mudah dibawa. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Lampu cincin sentuhan sendiri jadi perniagaan

KOTA KINABALU: Bermula dengan hanya menghasilkan lampu cincin bagi kegunaan isteri, percubaan Ak Syamasullaili Pg Mohammad, 36, akhirnya bertukar menjadi perniagaan.

Lampu buatan sendiri itu mencuri perhatian dan menjadi pilihan pengguna laman sosial Facebook, khususnya mereka yang berkecimpung dalam bidang solekan.

Ketika ditemui BH Plus di kedai jahit miliknya bersama isteri, Dg Nur'asmah Zainuddin, 29, beliau yang berasal dari Papar, berkata idea untuk menghasilkan lampu solekan itu timbul apabila isteri meminta dirinya untuk membeli lampu berkenaan.

"Bagaimanapun, harga yang agak mahal mendorong saya untuk membuat sendiri lampu berkenaan. Harga lampu ini di pasaran paling murah adalah RM300, malah boleh mencecah sehingga RM700. Jadi, saya fikir lebih baik buat sendiri, sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kos.

"Saya mula membuat pemerhatian berkaitan produk ini kerana berpendapat rekaan lampu ini mudah dan boleh dihasilkan sendiri.

"Lampu pertama yang berjaya dihasilkan adalah lampu cincin berbentuk hati dan beberapa pengubahsuaian cahaya dibuat berdasarkan jenis kuasa digunakan setiap mentol daripada 45 volt kepada 32 volt," katanya yang mula mengetengahkan produk lampu itu sebelum Aidilfitri tahun lalu.


AK Syamasullaili menunjukkan cara membuat lampu cincin. - Foto Mohd Nazllie Zainul

ANTARA lampu cincin yang dihasilkan Ak Syamasullaili. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Ak Syamasullaili berkata, lampu cincin sentuhan sendiri itu dilihat lebih praktikal untuk dibawa ke mana sahaja kerana ringan dan saiz yang sederhana.

"Antara bahan yang digunakan ialah paip PVC, mentol lampu berbentuk cincin, wayar dan kepala suis. Saya sentiasa melakukan pembaharuan ke atas produk lampu ini dengan menghasilkannya dalam pelbagai bentuk dan rekaan supaya lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

"Ada juga antara rekaan lampu ini yang sengaja tidak dicat kerana mahu menampakkan keaslian produk buatan sendiri," katanya yang berbekalkan modal permulaan sebanyak RM60 sahaja.

Beliau yang juga jurulatih Muay Thai dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun, bagaimanapun berkata perniagaan lampu cincin itu hanya dibuat secara sampingan dan berdasarkan tempahan.

"Jika ada tempahan saya akan buat kerana produk ini lazimnya banyak digunakan oleh jurusolek. Bagaimanapun, saya dan isteri sentiasa melihat perkembangan produk ini dan jika sambutan menggalakkan, saya berhasrat memperluaskan pasaran produk ini.

"Ini termasuk menghasilkan lampu cincin yang boleh dicas semula agar lebih mudah dibawa oleh pengguna produk ini.

"Dalam sehari, saya boleh menyiapkan lima lampu cincin dan harganya adalah berpatutan iaitu antara RM100 hingga RM150, tertakluk kepada rekaan," katanya yang turut memasarkan lampu cincin buatan sendiri secara atas talian.


AK Syamasullaili mula membuat pemerhatian berkaitan produk ini kerana berpendapat rekaan lampu ini mudah dan boleh dihasilkan sendiri. - Foto Mohd Nazllie Zainul

INFO

  • Harga lampu cincin di pasaran paling murah adalah RM300 dan boleh mencecah sehingga RM700.
  • Harga lampu cincin yang dihasilkan Ak Syamasullaili Pg Mohammad antara RM100 hingga RM150, tertakluk kepada rekaan.
  • Lampu pertama yang berjaya dihasilkan adalah ring light berbentuk hati.
Berita Harian X