Isnin, 15 Januari 2018 | 11:28pm

UMP bangunkan teknologi laser ukiran khat Khufi

PEKAN: Lazimnya ukiran kayu kaligrafi khat Khufi dihasilkan dalam masa sehari kerana ia memerlukan ketelitian pengukir bagi memastikan hasil karya benar-benar halus.

Namun dengan teknologi laser yang dibangunkan sekumpulan pensyarah dan pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaysia Pahang (UMP), tempoh menghasilkannya dapat dikurangkan kepada dua jam sahaja walaupun rekaan yang rumit.

Ia dibangunkan pelajar prasiswazah dan siswazah fakulti berkenaan, Mohd Hamka Mohd Jaapar, Muhd Fadil Wahid serta Siti Aisyah Jilani yang mendapat nasihat pensyarah kanan, Dr Akhtar Razul Razali dan Dr Fadhlur Rahman Mohd Romlay.


PROSES ukiran kaligrafi khat Khufi pada kayu di UMP Pekan. - Foto Farizul Hafiz Awang

Ketua kumpulan berkenaan, Mohd Hamka berkata teknologi laser digunakan pensyarah mereka sejak 2006, bagi membangunkan mesin berangka komputer sebelum mereka melengkapkannya menjadi satu sistem lengkap pada 2013.

"Kami mengambil inisiatif membangunkan teknologi itu kerana berasakan permintaan untuk seni ukiran kayu terutama kaligrafi khat Khufi adalah tinggi bagi sektor rekaan dalaman namun kita kekurangan pengukir serta teknologi untuk memenuhinya.

"Sebab itu kami membangunkannya dengan memulakan dalam kaligrafi khat Khufi dan barangan dijadikan hadiah atau cenderamata seperti rantai kunci.

"Kami menggunakan konsep potongan iaitu kayu dipotong menggunakan laser untuk menghasilkan tulisan atau bentuk kelihatan timbul manakala ukiran pula kita terus ukir pada kayu," katanya ketika ditemui BH di UMP Kampus Pekan di sini.


PENSYARAH Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama pelajar melakukan ukiran kaligrafi khat Khufi pada kayu di UMP Pekan. - Foto Farizul Hafiz Awang

Mohd Hamka berkata, penggunaan teknologi laser lebih mudah untuk dikendalikan kerana mereka hanya perlu memasukkan rekaan dalam perisian komputer sebelum diukur menggunakan laser mesin berangka komputer.

"Selepas itu kita biarkan laser membuat ukiran pada kayu. Sekiranya rekaan rumit menggabungkan konsep potongan ukiran masa paling lama untuk menyiapkannya mungkin dalam tempoh dua jam sahaja.

"Maksudnya ia hanya menggunakan satu mesin, namun kalau kaedah konvensional atau mengukir secara manual oleh pengukir ia mungkin mengambil masa satu hari bagi menghasilkan rekaan rumit," katanya.

Beliau berkata, mereka menubuhkan sebuah syarikat dikenali Wooden Technology bagi memasarkan produk dihasilkan dan ia selaras dengan hasrat UMP yang mahu setiap teknologi dibangunkan dapat dikomersialkan di pasaran terbuka.


PENSYARAH Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama pelajar menunjukkan ukiran kayu iaitu khufi di UMP Pekan. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Setakat ini, kita sudah mengikuti Ekspo Siswapreneur di KB Mall, Kelantan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Global Entrepreneurship Community Summit 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang mendapat maklum balas positif.

"Ada wakil sekolah dan muzium berminat mendapatkan produk kami keluarkan untuk dijadikan tatapan ramai serta cenderamata. Ada juga pengukir kayu mahu bekerjasama," katanya.

INFO

  • Ukiran kayu kaligrafi khat Khufi dihasilkan dalam masa sehari.
  • Teknologi laser hanya mengambil masa dua jam.
  • Teknologi laser lebih mudah kerana pengendali hanya perlu memasukkan rekaan dalam perisian komputer.
  • Wooden Technology pasarkan produk di pasaran terbuka.
Berita Harian X