Selasa, 19 Disember 2017 | 2:58pm
ZULKAFLI memeriksa tahap kualiti buah tin. - Foto Adi Safri
ZULKAFLI melakukan proses semaian keratan batang di BSA Figs Garden, Batu Pahat. - Foto Adi Safri
ZULKAFLI menunjukkan buah tin yang masak ranum. - Foto Adi Safri

Pokok tin jana pendapatan lumayan

BATU PAHAT: Bermula sebagai hobi, bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kini beralih arah mengusahakan tanaman pokok tin sepenuh masa.

Tidak ralat mengambil pilihan bersara awal walaupun bergaji lumayan, Zulkafli Yasman, 57, menyifatkan keputusannya untuk mengusahakan tanaman tin secara komersial, amat tepat.

Kini, ladang pokok tin miliknya yang diusahakan menerusi kaedah fertigasi di tapak seluas 0.2 hektar di Parit Lapis Semarang, dekat sini, mampu memberi pulangan lumayan.

Beliau yang juga antara pengusaha tanaman tin secara komersial terawal di Johor, menjadi rujukan penanam kecil di negeri berdekatan.

Mengakui tidak arif mengenai pokok tin sebelum ini, Zulkafli mula jatuh cinta terhadap tanaman berkenaan selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang, Selangor, empat tahun lalu.

"Ketika di MAHA itulah, saya bertemu pengusaha tanaman tin berjaya yang membuka ladang komersial di Sungai Ramal, Kajang, Selangor menyebabkan saya tertarik untuk mula berjinak-jinak mengusahakan tanaman itu.


ZULKAFLI memotong anak benih pokok buah tin daripada proses semaian keratan batang. - Foto Adi Safri

ZULKAFLI memeriksa kualiti anak pokok buah tin di BSA Figs Garden, Batu Pahat. - Foto Adi Safri

"Selepas melawat sendiri ladang buah tin yang diusahakan secara serius sehingga mendapat pulangan amat lumayan, selain diberi tunjuk ajar dan motivasi, saya akhirnya nekad mula mengusahakan tanaman ini.

"Saya bermula secara kecil-kecilan pada 2015 di Pontian, namun selepas mula berjaya mendapat hasil dan sedikit pulangan, saya memberanikan diri mengusahakan secara komersial di Parit Lapis Semarang sejak tahun lalu. Wujudlah BSA Figs Garden ini.

"Alhamdulillah, segala usaha tidak sia-sia sehingga saya mengambil keputusan untuk bersara awal dan menumpukan sepenuh masa pada ladang buah tin ini," katanya kepada BH ketika ditemui di ladangnya.

Zulkafli mengusahakan tanaman tin secara fertigasi yang diletakkan di dalam rumah hijau bagi menghalang serangan serangga dan haiwan perosak, termasuk monyet.

Katanya, terdapat sebanyak 130 jenis tanaman serta anak benih pokok tin berbeza disemai dan ditanam di ladangnya. 

Beliau berkata, hampir semua anak benih pokok tin diperoleh dari ladang pengusaha pokok tin di Sungai Ramal, yang mengimport benih pokok tin bermutu sebelum menyemainya, untuk dijual kepada pengusaha tempatan.

Zulkafli berkata, beliau juga memberi keutamaan kepada urusan membekal dan menjual anak benih pokok tin yang disemai dari pokok induk di ladangnya kepada pengusaha tempatan berbanding memasarkan buah.

Ini disebabkan, katanya, pengeluaran dari ladangnya masih terhad dan tidak mampu menampung permintaan yang tinggi.


ZULKAFLI memeriksa tahap kesihatan pokok tin. - Foto Adi Safri

ZULKAFLI menanam anak pokok buah tin di BSA Figs Garden, Batu Pahat. - Foto Adi Safri

"Anak benih pokok tin bernilai tinggi kerana boleh dijual bermula dari harga harga RM100 hingga RM250. Ada pokok tin yang mencecah RM10,000 hingga RM50,000 berdasarkan jenis dan kualitinya.

"Buah tin yang segar pula mampu mencecah RM80 hingga RM160 sekilogram. Setakat ini, permintaan terhadap anak benih pokok tin agak tinggi, terutama dalam kalangan pengusaha kecil dan purata saya menjual antara 30 hingga 80 anak benih sebulan.

"Buah tin di ladang pula mengeluarkan hasil sehingga 10 kilogram sehari dan biasanya sudah ditempah awal pembeli," katanya.

Zulkafli berkata, pokok tin akan mengeluarkan buah dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas ia disemai dari anak benih. 

Katanya, akar pokok tin tidak tahan jika terendam air terlalu lama hingga boleh menyebabkan pokoknya mati, namun ia tetap memerlukan air yang cukup, selain perlu sentiasa dibekalkan baja secukupnya.

"Di ladang ini, setiap pokok tin disiram lima kali sehari antara 8 pagi hingga 4 petang menerusi sistem pengairan automatik. 

"Saya dalam perancangan untuk memperluaskan ladang di sini berikutan semaian banyak anak benih serta tanaman pokok tin yang memerlukan kawasan lebih luas," katanya. 

Bagi yang berminat melawat serta mahu maklumat lanjut mengenai BSA Figs Garden boleh melayari Facebook (FB) Pokok Tin Johor.

INFO

  • Ficus carica nama saintifik pokok tin.
  • Pokok tin biasanya hidup subur di negara empat musim selain di rantau Asia Barat dan selatan Mediterranean.
  • Buah tin ini rasanya lemak dan manis sekiranya dimakan segar namun, cepat rosak selepas dua hari dipetik jika tidak disimpan dalam peti sejuk.
  • Terdapat pelbagai warna buah tin termasuk hitam, merah, kuning, perang, hijau dan berbelang-belang.
  • RM10,000-RM15,000 nilai sebatang pokok tin berkualiti tinggi yang ditanam di Ladang BSA Figs Garden Parit Lapis Semarang, yang mencecah ketinggian tiga meter.
Berita Harian X