Selasa, 2 Oktober 2018 | 5:13pm
TIDAK semua boleh dilakukan secara automatik. - Foto hiasan

Teknologi tidak akan ambil alih pekerjaan manusia

KUALA LUMPUR: Kepercayaan umum bahawa teknologi akan mengambil alih pekerjaan manusia pada masa depan adalah tanggapan yang salah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Yusry Yusoff.

Beliau berkata, teknologi, sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), akan meningkatkan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan masa depan.

“Dengan teknologi, kita tidak perlu membuka cawangan bank lagi berikutan semuanya boleh dilakukan secara dalam talian. Bagaimanapun, orang ramai berpendapat bahawa dengan ini, akan kurang pekerjaan. Ini tidak betul.

“Mereka yang sebelum ini kerani kini boleh menjadi perancang kewangan jika mereka menambah baik diri mereka. Ya, pekerjaan yang mereka miliki sekarang mungkin tidak lagi wujud, tetapi pekerjaan baharu, sejajar dengan perubahan, akan diwujudkan,” katanya kepada Bernama di luar forum mengenai "Digital Economy and its Potential at Reskilling for Future Economy" di sini, hari ini.

Menurut Forum Ekonomi Dunia 2016, sebanyak 65 peratus kanak-kanak di sekolah hari ini akan memperoleh pekerjaan yang belum wujud.

Beliau berkata, proses perbankan tetap boleh dilakukan secara automatik tetapi perbankan pelaburan masih memerlukan sentuhan manusia.

“Tidak semua boleh dilakukan secara automatik. Terdapat bidang yang robot dan automasi tidak boleh menggantikan keupayaan manusia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusry berkata Malaysia terus menjadi pemimpin dalam kewangan Islam dan boleh pergi lebih jauh dengan penggunaan teknologi berikutan ia dapat mencapai lebih ramai orang.

“Kewangan Islam, dijangka berkembang dengan pesat, dan pada masa sama dengan pembangunan ekonomi Islam.

“Ini akan meningkatkan peluang perusahaan kecil dan sederhana mendapat bantuan kewangan. Dengan teknologi kewangan, kita akan dapat memanfaatkan pasaran yang lebih besar, " katanya. - BERNAMA

221 dibaca
Berita Harian X