Ahad, 7 Januari 2018 | 9:22pm
PENGASAS Rangers Technology Sdn Bhd, Ahmad Zaidi Abdul Patar. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
AHMAD Zaidi (kiri) bersama Norazmi menunjukkan aplikasi 'Rangers'. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PENGHASILAN aplikasi 'Rangers' mengambil masa hampir dua tahun. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
- Foto ihsan Facebook Rangers Malaysia
- Foto ihsan Facebook Rangers Malaysia

Aplikasi 'Rangers' bantu kenderaan terkandas

SHAH ALAM: Setiap kenderaan yang dimiliki sama ada kereta atau motosikal semestinya akan mengalami kerosakan yang tidak dijangka hingga menyebabkan pemandu atau penunggang terkandas di tepi jalan atau lebuh raya.

Lebih merunsingkan, pemilik kenderaan terbabit tidak mengetahui langkah sewajarnya untuk menyelesaikan masalah berkenaan seperti menghubungi perkhidmatan tunda atau gagal mencari bengkel terdekat.

Itulah pengalaman yang dikongsi Ahmad Zaidi Abdul Patar, 38, apabila motosikal yang ditunggangnya mengalami kerosakan menyebabkan beliau terkandas di tepi jalan.

Mujur, beliau berjaya menghubungi rakannya supaya hadir mengangkut motosikalnya menggunakan pacuan empat roda untuk dibawa ke bengkel terdekat bagi proses pembaikan.

Pada detik itulah, tercetusnya idea untuk wujudkan perniagaan dalam menawarkan perkhidmatan tunda kereta dan motosikal menerusi aplikasi telefon bimbit.

"Ketika itu, baru saya terfikir, alangkah baiknya jika ada satu aplikasi yang boleh digunakan individu seperti saya (pemilik kenderaan yang tersadai di tepi jalan), untuk mendapatkan perkhidmatan tunda atau pembaikan.

"Selalunya, apabila insiden seperti ini berlaku, tidak ramai yang mengetahui apa langkah seterusnya melainkan menghubungi ahli keluarga atau rakan untuk datang membantu.

"Namun, ia akan menjadi masalah apabila kita terkandas di sebuah kawasan yang jauh daripada mereka dan perlu mencari bengkel terdekat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.


PENGASAS Rangers Technology Sdn Bhd, Ahmad Zaidi Abdul Patar. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Ditanya mengenai proses menghasilkan aplikasi 'Rangers', Ahmad Zaidi berkata, ia sememangnya bukan mudah dan mengambil masa hampir dua tahun untuk merealisasikan idea terbabit.

"Lebih-lebih lagi saya tiada kepakaran untuk menghasilkan sesebuah aplikasi, dan membawa idea ini kepada kawan rapat, Norazmi Othman, 36, kerana beliau mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT).

"Selain bantu mencipta aplikasi itu, beliau turut bertanggungjawab mereka bentuk laman web rasmi Rangers sebelum kami mendaftarkan Rangers Sdn Bhd pada November 2016.

"Pada Mei 2017, aplikasi itu kemudian dilancarkan dan kami menghebahkan perkhidmatan itu kepada rakan-rakan khususnya yang mempunyai bengkel kereta dan motosikal serta menawarkan perkhidmatan tunda di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, aplikasi itu diilhamkan daripada kewujudan aplikasi Grabcar dan Uber yang mana pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan tunda atau pembaikan di lokasi.

"Sebaik pengguna mengaktifkan Rangers, kita boleh mengesan kedudukan individu terbabit menerusi platform Google Maps.

"Jika pengguna memilih khidmat tunda, aplikasi ini akan menunjukkan senarai bengkel yang terdekat, malah, individu itu juga mempunyai pilihan untuk menunda kenderaan terbabit ke lokasi yang dikehendaki menggunakan lori tunda atau pacuan empat roda (bagi motosikal)," katanya.

Katanya, jika aplikasi itu gagal mengesan kedudukan pengguna, ia akan memaparkan nombor telefon hotline supaya pengguna dapat menghubungi pihaknya secara langsung.

"Dari segi pembayaran, pengguna tidak perlu risau kerana setiap pilihan yang dibuat, aplikasi itu akan memaparkan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan kepada ejen yang hadir secara tunai.

"Ini supaya pengguna tidak tertipu dengan mana-mana pihak. Jumlah yang dipaparkan itu sudah merangkumi segala perkhidmatan yang dipilih pengguna," katanya.


PENGHASILAN aplikasi 'Rangers' mengambil masa hampir dua tahun. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Selain itu, Ahmad Zaidi berkata, pihaknya turut mewujudkan aplikasi Rangers Driver khusus kepada mereka yang menawarkan khidmat tunda.

Kini sebanyak 500 bengkel sudah berdaftar dengan aplikasi Rangers yang mampu menggerakkan sebanyak 200 lori tunda serta 100 pacuan empat roda di semenanjung.

"Kita bercadang untuk meluaskan perkhidmatan ini kerana ia kebanyakannya tertumpu di sekitar Lembah Klang. Pada masa akan datang, kita ingin meluaskan perkhidmatan ini khususnya di Pulau Pinang dan Johor.

"Justeru, kita menggalakkan penyertaan lebih ramai pemilik bengkel atau mereka yang menawarkan perkhidmatan tunda untuk berdaftar dengan Rangers.

"Sehingga kini, kita mendapat sambutan meriah daripada pengguna, dan dianggarkan sebanyak lapan panggilan diterima setiap hari secara purata," katanya.

Mereka yang berminat menyertai aplikasi itu boleh menghubungi hotline Rangers di talian 011-36000055 atau melayari akaun Facebook Rangers Malaysia untuk maklumat lanjut.

INFO

  • Aplikasi Rangers dilancarkan pada Mei 2017.
  • Mempunyai lebih 500 bengkel yang berdaftar.
  • Lebih 200 lori tunda dan 100 pacuan empat roda.
Berita Harian X