;
Jumaat, 1 Disember 2017 | 12:26pm
PRESIDEN MDA, Serm Teck Choon (kiri) dan Timbalan Presiden MDA, Nick Drew

Anugerah 'd Awards' kini dibuka untuk penyertaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Digital Malaysia (MDA) mengajak semua pengkarya pemasaran digital menyertai anugerah 'd Awards' 2018 yang kini dibuka untuk penyertaan.

Presiden MDA, Serm Teck Choon, berkata anugerah itu menjadi medan untuk mempamerkan hasil karya terbaik dan juga satu-satunya anugerah yang mengukur impak keberkesanan penggunaan teknologi digital dalam pengiklanan yang berjaya.

Katanya, 'd Awards' itu juga sejajar perkembangan pesat yang sedang melanda landskap pengiklanan digital di Malaysia ketika ini.

"Sepanjang tahun, kita melihat berlaku peningkatan membabitkan standard dan kualiti untuk kempen dan kerja pengiklanan digital.

"Sehubungan itu, kita yakin anugerah ini akan menjadi penanda aras kepada perkembangan industri ini di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Presiden MDA, Nick Drew, berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan kerja kreatif digital dan teknikal daripada mana-mana disiplin komunikasi ke dalam anugerah itu.

Buat kali pertama juga katanya, pihaknya memperkenalkan anugerah mengiktiraf bakat muda menerusi anugerah Individu Digital Muda Terbaik Tahunan.

"Anugerah ini bagi individu berumur 30 tahun ke bawah yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan dalam pengiklanan digital.

"Kami harap pengenalan anugerah baharu ini akan memberi motivasi kepada ramai orang muda untuk menyertai industri ini, sekali gus membantu mengembangkannya," katanya.

Anugerah itu dibuka kepada kempen pemasaran yang dihasilkan di Malaysia sepanjang tahun ini dari 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2017.

Penyertaan boleh dihantar bermula 29 Disember ini sehingga 5 Januari 2018, jam 5 petang.

Perincian berhubung peraturan boleh didapati di www.d-awards.com.my.

INFO

>>>>

- Anugerah 'Individu Digital Muda Terbaik Tahunan' diperkenalkan buat kali pertama dalam 'd Awards'

- Tarikh serah penyertaan bermula 29 Disember 2017 - 5 Januari 2018

467 dibaca
Berita Harian X