Isnin, 28 Mei 2018 | 2:58pm

Aliran keluar dana asing berterusan

KUALA LUMPUR: Aliran keluar dana asing daripada pasaran berterusan untuk minggu keempat berturut-turut walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, berdasarkan data awal daripada Bursa Malaysia, jumlah bersih yang dijual oleh pelabur asing pada minggu lalu berjumlah RM892.4 juta.

Ia hampir satu pertiga daripada jumlah yang dijual pada minggu sebelumnya. Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk perjanjian di luar pasaran.

Firma itu berkata, pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dalam minggu lalu, melanjutkan jualan besar-besaran kepada hari ke-15 sehingga Jumaat lalu.

"Ia adalah tempoh jualan paling panjang yang pernah dicatatkan sejak 17 hari jualan pada Ogos 2017. Pengeluaran asing minggu lalu juga telah memadamkan aliran masuk terkumpul yang berjumlah RM40.2 juta pada minggu sebelumnya.

"Sehingga ini, aliran keluar saham dari negara ini adalah sebanyak RM852.2 juta, masih antara yang terendah di kalangan negara di Asia Tenggara yang kami pantau," kata MIDF Research,

Jelasnya lagi, momentum penjualan asing meningkat kepada RM286.8 juta pada Rabu lalu, serentak dengan kejatuhan harian FBM KLCI yang terbesar iaitu 2.21 peratus sejak 24 Ogos 2015.

"Jualan berkenaan kebanyakannya dicetuskan oleh kebimbangan yang tidak pasti mengenai paras hutang negara.

"Antara faktor lain yang mempengaruhi tindakan pelabur termasuklah ketegangan geopolitik antara Washington dan Pyongyang yang turut menyumbang kepada jualan besar-besaran di pasaran Asia lain seperti Thailand, Taiwan dan Filipina," katanya.

Penyertaan asing juga merosot berikutan Purata Nilai Dagangan Harian (ADTV) merosot sebanyak 35 peratus tetapi ia masih disifatkan sebagai sihat pada nilai RM1.56 bilion.

2709 dibaca
Berita Harian X