Selasa, 13 Februari 2018 | 7:52pm

Ringgit ditutup tidak berubah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini menjelang pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat, esok.

Pada jam 6 petang, ringgit kekal berada di paras 3.9370/9400 berbanding dolar AS.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA Corp, Stephen Innes, berkata ringgit didagangkan dalam jajaran kecil menjelang kenyataan BNM itu serta pengumuman indeks harga pengguna AS pada Rabu.

"Kedua-dua elemen itu adalah data utama yang boleh mempengaruhi (pergerakan) ringgit dalam masa terdekat ini. Sebarang kenaikan inflasi boleh menjejaskan ringgit," katanya.

Innes berkata, walaupun pasaran sudah menjangkakan tiga kenaikan kadar faedah AS bagi 2018, namun sebarang peningkatan inflasi AS secara ketara akan hanya mempercepatkan normalisasi kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang boleh memberi impak negatif terhadap sentimen serantau.

Dalam pada itu, ringgit susut berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9760/9792 daripada 2.9689/9713 pada Isnin dan turun berbanding yen kepada 3.6569/6600 daripada 3.6202/6240.

Ringgit juga susut berbanding pound Britain kepada 5.4653/4715 daripada paras 5.4504/4553 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8476/8517 daripada 4.8279/8320.

-- BERNAMA

264 dibaca
Berita Harian X