Selasa, 13 Februari 2018 | 7:18pm

Bursa Malaysia ditutup kukuh

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup kukuh hari ini dengan peningkatan dilihat pada saham wajaran tinggi terpilih seperti Maxis dan Nestle, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.85 mata untuk ditutup kepada 1,833.02 daripada 1,830.17 mata semasa ditutup semalam.

Selepas dibuka tinggi 3.64 mata kepada 1,833.81, barometer tempatan bergerak antara julat kecil 1,830.28 dan 1,835.17 sepanjang sesi dagangan.

Maxis meningkat lapan sen kepada RM6.02 dengan 1.08 juta saham diniagakan, susulan keputusannya yang lebih baik bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Nestle naik lima sen kepada RM116.80.

Pasaran yang lebih luas ditutup bercampur-campur, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 495 berbanding 409 manakala 391 kaunter tidak berubah, 575 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.62 bilion saham, bernilai RM2.44 bilion, susut daripada 1.80 bilion unit bernilai RM2.26 bilion semalam.

Peniaga berkata pasaran bermula dengan momentum yang baik berikutan peningkatan Wall Street semalaman.

"Bagaimanapun, ia dijangka kekal berdaya tahan bagi minggu ini menjelang pengumuman mengenai angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat dan tahun penuh 2017 Malaysia oleh Bank Negara Malaysia yang dijangka mencatatkan lebih lima peratus," kata peniaga.

Bagi pasaran serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.29 peratus kepada 29,839.53, Indeks Komposit Shanghai naik satu peratus kepada 3,185.63, Kospi Korea Selatan menokok 0.41 peratus kepada 2,395.19 dan Indeks Straits Times Singapura menambah 0.89 peratus kepada 3,415.07.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank, Hong Leong Bank dan PetGas, masing-masing meningkat empat sen kepada RM10.10, RM18.00 dan RM17.80.

Tenaga jatuh dua sen kepada RM15.74. Petronas Chemicals dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM7.98 dan RM6.90.

Dalam kalangan saham aktif, PUC menambah setengah sen kepada 24.5 sen; Sapura Energy merosot satu sen kepada 67 sen; dan, Sumatec tidak berubah pada tujuh sen.

MAHB adalah kaunter paling rugi dengan sahamnya susut 72 sen kepada RM8.40, dengan 39.53 juta saham diniagakan selepas Suruhanjaya Penerbangan Malaysia memperkenalkan dua peraturan utama yang penganalisis percaya akan memberi kesan kepada syarikat.

Indeks FBM Emas naik 33.26 mata kepada 13,049.86, Indeks FBMT 100 meningkat 28.92 mata kepada 12,774.38 dan FBM 70 menokok 67.02 mata kepada 15,973.67.

Indeks FBM Emas Syariah melonjak 45.78 mata kepada 13,363.98 dan FBM Ace menambah 25.17 mata kepada 6,110.42.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 46.05 mata kepada 17,535.66, Indeks Perusahaan meningkat 7.24 mata kepada 3,232.86 dan Indeks Perladangan menokok 29.44 mata kepada 7,991.21.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 1.01 bilion unit bernilai RM2.32 bilion daripada 1.19 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 285.14 juta saham bernilai RM47.95 juta daripada 287.89 juta saham bernilai RM50.82 juta semalam.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 314.22 juta unit bernilai RM67.24 juta daripada 310.92 juta unit bernilai RM64.11 juta pada Isnin.

Barangan pengguna menyumbang 41.34 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (193.19 juta), pembinaan (56.77 juta), perdagangan dan perkhidmatan (489.01 juta), teknologi (59.011 juta), infrastruktur (8.86 juta), SPAC (1.64 juta), kewangan (52.48 juta), hotel (624, 500), hartanah (64.63 juta), perladangan (31.60 juta), perlombongan (206,300), REIT (8.64 juta) dan dana tertutup (sifar).

-- BERNAMA​​​​​

143 dibaca
Berita Harian X