Selasa, 13 Februari 2018 | 3:34pm
Mesyuarat bersama delegasi daripada Kementerian Tenaga Sepanyol yang diketuai oleh Setiausaha Negara Kementerian Tenaga, H.E Daniel Navia. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengetuai delegasi Malaysia yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Sepanyol, H.E Zainal Abidin Bakar.

Sepanyol turut bantah tindakan diskriminasi minyak sawit

KUALA LUMPUR: Selepas Belanda, kini kerajaan Sepanyol pula mengumumkan ia tidak menyokong sebarang tindakan mendiskriminasikan ke atas minyak sawit.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong selepas menghadiri tiga mesyuarat bilateral bersama wakil kerajaan Sepanyol dalam rangka Misi Khas Rundingan Sawit Malaysia - Kesatuan Eropah (EU).

Mesyuarat bilateral itu diadakan bersama Setiausaha Negara Kementerian Tenaga, Danial Navia Simon; Setiausaha Negara Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Maria Poncela Garcia dan wakil Kementerian Pertanian, Perikanan dan Alam Sekitar, Jaimie Haddad di Madrid, Sepanyol.

Mengulas lanjut, Siew Keong berkata, sepanjang mesyuarat itu, beliau menyuarakan kebimbangan serta pendirian teguh kerajaan Malaysia berkenaan resolusi Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit daripada perundangan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) menjelang tahun 2021.

Katanya, kerajaan Malaysia menentang ketidakadilan melalui resolusi parlimen EU yang mendiskriminasikan minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.

"Resolusi itu juga bakal menjejaskan sumber pendapatan serta menekan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Keong berkata, perwakilan kerajaan Sepanyol telah memaklumkan bahawa pendirian rasmi kerajaan Sepanyol adalah untuk tidak menyokong sebarang tindakan mendiskriminasikan minyak sawit.

Katanya, pendirian kerajaan Sepanyol itu adalah kerana adaptasi resolusi berkenaan bakal memberikan kesan buruk terhadap industri biodiesel di Sepanyol dan ia juga tidak sejajar dengan undang-undang perdagangan bebas menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Malaysia mengalu-alukan komitmen daripada perwakilan kerajaan Sepanyol ini yang berhujah jika pengharaman ini menjadi perundangan EU, sebarang bahan alternatif untuk menggantikan minyak sawit akan mengakibatkan peningkatan kos yang tinggi.

"Peningkatan kos yang tinggi ini akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dan turut bakal mengakibatkan kerugian tinggi terhadap pemain industri biodiesel di Sepanyol," katanya.


Mesyuarat bersama delegasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa Sepanyol yang diketuai oleh Setiausaha Negara Kementerian Perdagangan Antarabangsa, H.E Maria Poncela Garcia. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengetuai delegasi Malaysia yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Sepanyol, H.E Zainal Abidin Bakar.

Dikalangan 28 buah negara EU, Sepanyol adalah negara yang menggunakan stok suapan biodiesel bahan bakar berasaskan sawit terbesar dengan peratusan sebanyak 70 peratus dan Sepanyol juga adalah pengimport sawit kedua terbesar selepas Belanda dengan nilai tahunan hampir RM1 bilion.

Selain daripada itu, perwakilan daripada kerajaan Sepanyol turut menjamin tidak akan menyokong dan menerima sebarang cadangan yang bertentangan dengan perundangan yang ditetapkan WTO, kata Siew Keong.

Dalam pertemuan berasingan, Siew Keong turut mengadakan pertemuan khas bersama pengimport minyak sawit daripada negara Sepanyol di Madrid.

Semasa pertemuan itu, pengimport sawit Sepanyol berharap kerajaan Malaysia untuk terus menentang keras resolusi parlimen EU dan mereka bersedia untuk bekerjasama Malaysia untuk menangani persepsi negatif terhadap minyak sawit dikalangan pengguna.

Misi Rundingan Sawit Malaysia - EU akan diteruskan dengan siri perjumpaan bersama wakil-wakil kerajaan dan serta Komisioner EU di Belgium, United Kingdom (UK), Jerman, Poland dan Itali.

562 dibaca
Berita Harian X