;
Selasa, 13 Februari 2018 | 1:02pm

Peniaga ambil tindakan undang-undang terhadap wang kripto

TOKYO: Sekumpulan peniaga mata wang kripto akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap wang kripto Coincheck Inc pada Khamis ini.

Ia berhubung kecurian berjumlah AS$530 juta (RM2.089 bilion) yang berlaku bulan lalu dalam wang digital daripada bursa yang berpangkalan di Tokyo, demikuan peguam yang mewakili peniaga berkenaan.

Sejumlah 10 peniaga itu akan memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Daerah Tokyo berikutan tindakan Coincheck membekukan pengeluaran mata wang kripto, kata Hiromu Mochizuki yang juga peguam semua plaintif terbabit.

Peniaga berkenaan akan meminta Coincheck membenarkan mereka mengeluarkan mata wang kripto ke 'wallets', sisipan yang digunakan untuk menyimpan mata wang digital di luar bursa berkenaan, kata Mochizuki.

Kumpulan berkenaan mungkin akan memfailkan saman kedua pada hujung bulan ini bagi mendapatkan ganti rugi berhubung kerosakan yang ditanggung akibat perkara itu, tambah Mochizuki.

Wakil Coincheck tidak memberikan sebarang maklum balas ketika dihubungi.

Insiden berkenaan memberi kesedaran mengenai risiko dagangan dalam aset yang masih belum dikawal selia oleh penggubal dasar dan ia telah memperbaharui tumpuan ke atas rangka kerja Jepun untuk mengawasi bursa ini.

Bursa yang berpangkalan di Tokyo itu membekukan semua pengeluaran yen dan mata wang digital berikutan kecurian yang berlaku telah memulakan kembali pengeluaran yen sejak Selasa, menurut satu kenyataan di Twitter.

Jumaat lalu, Coincheck berkata pihaknya membenarkan pelanggannya mengeluarkan yen selepas mengesahkan integriti sistem keselamatannya.

Tambahnya, ia akan mengekalkan kawalan ke atas pengeluaran mata wang kripto sehingga ia boleh menjamin keselamatan operasi.

Coincheck dijangka mengemukakan laporan dengan pengawal selia berhubung insiden berkenaan, keselamatan sistem yang digunakan serta langkah yang akan diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang. - Reuters

287 dibaca
Berita Harian X