Jumaat, 10 Ogos 2018 | 3:11pm
SEKTOR pembinaan Malaysia mencatatkan nilai kerja pembinaan RM35.6 bilion pada suku kedua 2018. - Foto hiasan

Nilai kerja sektor pembinaan meningkat

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan Malaysia mencatatkan nilai kerja pembinaan RM35.6 bilion pada suku kedua 2018, pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan nilai kerja pembinaan ini didorong oleh pertumbuhan positif dalam subsektor kejuruteraan awam dengan 23.6 peratus dan subsektor aktiviti pertukangan khas pada 12.6 peratus.

“Bagaimanapun, subsektor bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing merosot kepada 7.6 peratus dan 4.8 peratus,” katanya dalam laporan Statistik Pembinaan Suku Tahunan, Suku Kedua 2018 yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, dari segi sumbangan, subsektor kejuruteraan awam merupakan penyumbang utama kepada nilai kerja pembinaan iaitu sebanyak 41.7 peratus, diikuti subsektor bangunan bukan kediaman (28.2 peratus), bangunan kediaman (25.0 peratus) dan aktiviti pertukangan khas (5.1 peratus).

Sektor swasta terus memacu pertumbuhan aktiviti pembinaan dengan menyumbang 56.4 peratus (RM20.1 bilion) berbanding sektor awam yang menyumbang 43.6 peratus (RM15.5 bilion), katanya. - BERNAMA

133 dibaca
Berita Harian X