Jumaat, 10 Ogos 2018 | 12:15pm

Segerakan bayaran balik cukai input GST tertunggak - FMM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk membayar balik baki cukai input Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tertunggak kepada anggotanya secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan, FMM berkata berdasarkan kaji selidik yang dibuat bulan lalu, maklum balas diterima daripada lebih 100 anggota FMM menunjukkan syarikat-syarikat terbabit secara terkumpul masih belum menerima bayaran balik cukai input berjumlah RM220 juta.

“Penangguhan bayaran balik menyebabkan isu aliran tunai yang serius anggota kami, khususnya perusahaan kecil dan sederhana di samping terus menjejaskan pengeksport.

“Kami juga menggesa kerajaan supaya memastikan semua kes tertangguh berhubung bayaran balik cukai jualan khas bermula sejak era GST pada 2015 disemak semula dan ditutup sebelum Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 2.0 dilaksanakan,” kata persekutuan itu.

Dalam masa sama, FMM berkata persekutuan itu perlu mendapat jaminan daripada kerajaan bahawa tiada imbangan kredit GST bagi bayaran SST pada masa hadapan.

“Kami menggesa Kementerian Kewangan mengadakan dialog bersama pihak berkepentingan yang terjejas oleh masalah bayaran balik GST belum dijelaskan bagi menentukan penyelesaian praktikal untuk menangani isu kritikal ini,” katanya.

Bagi membantu perniagaan beralih daripada rejim GST kepada SST, FMM mencadangkan pengecualian penalti bagi kesalahan yang dibuat semasa pelaksanaan awal SST.

Ia berkata, pengecualian itu tidak boleh diberikan kepada syarikat-syarikat yang secara sengaja cuba untuk menipu kerajaan.

“Kami juga menggesa kerajaan supaya berwaspada dalam memantau kelompongan dan menggunakan penguatkuasaan tegas dari segi aktiviti ‘ekonomi gelap’, aliran keluar modal haram dan mengelak cukai di bawah rejim SST,” katanya.

Persekutuan itu juga menyambut baik rundingan berterusan dan berharap dapat mengadakan pertemuan bersama Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mendapatkan penyelesaian menang-menang pada masa hadapan.

408 dibaca
Berita Harian X