Isnin, 14 Mei 2018 | 11:42am

Pelabur asing dijangka kembali ke pasaran saham tempatan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing dalam bursa tempatan kekal dalam zon menjual pada minggu pendek pilihan raya, namun dijangka kembali apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru dilantik cuba memenuhi janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bursa Malaysia hanya dibuka pada Isnin dan Selasa minggu lalu.

MIDF Research berkata, berdasarkan data awal daripada Bursa Malaysia yang tidak termasuk urus niaga luar pasaran, jumlah bersih yang dijual oleh pelabur asing pada dua hari dagangan minggu lalu berjumlah RM504.8 juta, melebihi RM438.4 juta pada minggu sebelumnya.

Berikutan itu, aliran masuk dana setakat tahun ini susut kepada RM2.52 bilion, kata firma penyelidikan itu dalam laporan aliran dana mingguannya.

Bagaimanapun, penyertaan institusi tempatan dan asing adalah kukuh apabila purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing berjumlah RM1.22 bilion dan RM2.85 bilion, tertinggi dalam 10 minggu.

Malaysia juga kekal sebagai penerima manfaat terbesar aliran masuk dana asing dalam kalangan empat pasaran ASEAN yang dijejaki oleh MIDF Research.

"Aliran keluar dana pada kedua-dua hari minggu lalu meneruskan penjualan dana asing pada minggu sebelumnya kepada lima hari, paling lama sejak Februari 2018.

"Perlu dijelaskan bahawa Isnin merekodkan aliran keluar paling tinggi yang mencecah jumlah bersih sehingga RM273.6 juta," kata MIDF Research.

Ia menambah bahawa pada malam sebelum PRU-14 Selasa lalu, aktiviti jualan asing menguncup sebanyak RM42.4 juta kepada RM231.2 juta, dengan bursa tempatan melonjak, disokong oleh aktiviti belian daripada institusi tempatan yang menjadi pembeli bersih selama lima hari berturut-turut.

"Isnin (hari ini) menandakan hari dagangan pertama selepas PRU-14 yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan enam dekad oleh Barisan Nasional. Berikutan kemenangan mengejutkan oleh PH, sedikit paras geseran asing dijangka berlaku dalam jangka pendek di tengah-tengah ketidaktentuan," kata MIDF Research.

Bagaimanapun, firma itu berkata ia akan diimbangi oleh persepsi pelabur kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai pengalaman 22 tahun memimpin negara sebelum menyertai PH pada 2016.

"Perdana Menteri sudah menjelaskan beliau akan menumpukan untuk menangani kebimbangan berhubung ekonomi dan kewangan negara termasuk mengurangkan hutang kerajaan tanpa menjejaskan nilai ringgi.

"Dalam jangka panjang, kami menjangkakan pelabur asing akan kembali ke Malaysia apabila PH berusaha secara berperingkat menunaikan janji yang dibuat semasa PRU-14," katanya.

1157 dibaca
Berita Harian X