Selasa, 13 Februari 2018 | 4:53pm
MUSTAPA Mohamed. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Mesyuarat RCEP di Singapura penting - Mustapa

KUALA LUMPUR: Pusingan seterusnya Mesyuarat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akan diadakan di peringkat menteri pada 2 Mac depan, penting bagi membincangkan kemajuan perjanjian perdagangan berkenaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata beliau yakin mesyuarat itu yang akan diadakan di Singapura, akan menjadi platform untuk merapatkan jurang antara ASEAN dengan negara lain.

"Kita yakin dengan komitmen semua pihak, kita akan dapat mengurangkan jurang antara ASEAN dengan negara lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan SME Bank Y-Biz Challenge 2018 dan sistem Permohonan Dalam Talian MySMEBank, di sini, hari ini.

Mustapa berkata, Malaysia berharap cadangan perjanjian perdagangan itu dapat dimeterai tahun ini.

Filipina dilaporkan menuntut negara rakan rundingan RCEP mempercepatkan usaha mencapai kata putus berhubung perjanjian itu.

Kerumitan dikatakan berlaku membabitkan Australia, China, India, Jepun, New Zealand and Afrika Selatan.

Sementara itu, pusingan ke-21 mesyuarat RCEP diadakan di Yogyakarta, Jakarta, dari 2 hingga 9 Februari lalu.

Ia dihadiri 16 negara anggota rundingan RCEP dan pada pusingan kali ini antara dibincangkan termasuklah topik berhubung perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, isu membabitkan undang-undang dan institusi, juga peraturan asal.

Apabila dimeterai, RCEP akan menjadi blok perdagangan terbesar dunia yang dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara anggotanya.

RCEP ialah perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara anggota ASEAN dengan enam negara lain, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

-BERNAMA

122 dibaca
Berita Harian X